top of page
nabalunews

TIGA KRU HILANG, BOT TUNDA KARAM DI KINABATANGAN


14 JAN 2021


SANDAKAN: Sebuah bot tunda dalam perjalanan dari Kinabatangan menuju ke Sandakan dipercayai karam di perairan Kuala Kinabatangan Besar, awal pagi semalam.


Bot tunda Ever Winner itu dikendalikan oleh empat kru termasuk kepten difahamkan sedang menunda sebuah tongkang (barge) Ever Eternity, tanpa muatan bersama seorang kru disyaki mengharungi cuaca buruk sebelum disedari hilang oleh syarikat pengangkutan bot tersebut pada jam 4.00 pagi semalam.


Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, maklumat kejadian diterima jam 4.20 petang semalam melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu.



Operasi mencari dan Menyelamat (SAR) diaktifkan pada jam 5.20 petang.


Ketua jurutera bot Ever Winner Asman Mohamad, 31, terselamat dan berjaya berenang ke pantai berhampiran. Manakala kapten bot Mohamad Mal, 49, serta dua kru Mohd Hafiz Isyra Nagrah, 22, dan Azlan Hassan, 23, masih belum ditemui.


Kru tongkang Ever Eternity, Roslie Antala, 48, ditemui selamat terkandas di kawasan cetek berhampiran pesisir muara Kinabatangan Besar selepas tali tunda tongkang tersebut putus dalam kejadian itu.


"Menurut maklumat ketua jurutera yang terselamat, beliau tercampak keluar dari bot akibat cuaca buruk dan berusaha berenang ke daratan terdekat.


“Manakala tiga lagi disyaki masih terperangkap di dalam bot sebelum hilang dari pandangan berikutan cuaca gelap. Panggilan komunikasi dengan bot terbabit juga tiada jawapan dan kita syaki bot tersebut tenggelam," katanya.


Terkini, SAR yang memasuki hari kedua dipecahkan kepada 6 sektor pencarian dengan keluasan meliputi 211 batu nautika persegi dengan penglibatan sembilan aset laut daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tugas Bersama, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.


Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki turut menyeru orang ramai yang menemui sebarang petunjuk berkaitan operasi carilamat agar segera menyalurkan maklumat terus ke bilik operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian MERS 999.


Comments


bottom of page