TIGA MANGSA COVID-19 DI TAWAU TERIMA FAEDAH PERKESO
- nabalunews
- Dec 2, 2020
- 1 min read

2 DIS 2020
TAWAU: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengesan tiga pencarum yang meninggal dunia akibat COVID-19 di sini dan menyampaikan faedah mencarum kepada waris mereka setelah didapati memenuhi Skim Keilatan, sejak Mac.
Ketua Pejabat PERKESO Tawau Joseph Immamuel berkata faedah berkenaan iaitu bantuan pengurusan mayat serta pencen penakat diserahkan kepada waris mangsa.
"Hari ini bantuan untuk mangsa ketiga, dikenali sebagai Rico, 53, seorang pekerja swasta meninggal dunia akibat COVID-19 pada 4 Nov lepas di Hospital Tawau.
"Memandangkan mangsa berstatus bujang dan kedua ibu bapa meninggal dunia maka bantuan faedah pengurusan mayat RM2,000 diserahkan kepada waris adik-beradik yang diwakili adiknya Mahadir, 40 tahun," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Joseph berkata faedah pencen penakat tidak dapat diberikan berikutan ketiadaan waris yang layak seperti ibu bapa atau anak mangsa.
"Kita telah melihat rekod majikan mangsa. Bagaimanapun, PERKESO tidak berupaya untuk membantu waris adik-beradik," katanya.
Joseph turut memohon kerjasama semua pihak atau ahli keluarga yang terlibat musibah melaporkan segera kes mereka ke Pejabat PERKESO Tawau.
Sebelum ini, waris dua pencarum yang meninggal akibat COVID-19 telah menerima bantuan berkenaan pada Mac dan November. – Bernama















Comments