TINDAKAN KURANGKAN PEMBERIAN KHAS KEPADA SABAH SATU PENGANAKTIRIAN
Wartawan Nabalu News

16 NOV 2020
OLEH WARTAWAN NABALU NEWS
KOTA KINABALU: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick menyifatkan tindakan Kerajaan Persekutuan mengurangkan jumlah Pemberian Khas kepada Negeri Sabah sebagai satu penganaktirian kepada rakyat Sabah.
Sebagai mengukuhkan hujah, beliau berkata Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan pemberian khas kepada Negeri Sabah.
Katanya, perkata itu berkaitan dengan pemberian semula dua perlima atau 40 peratus hasil yang diperolehi oleh Persekutuan daripada Sabah.
“Dalam Belanjawan Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2020, pemberian ini digandakan daripada RM26.7 juta kepada RM53.4 juta setelah tidak dikaji semula untuk tempoh yang begitu lama.
“Bagaimanapun dalam Belanjawan Kerajaan Persekutuan 2021 yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini, jumlah itu dikurangkan dari RM53.4 juta kepada RM26.7 juta.
“Rakyat Sabah kini bertanya kenapa ianya dikurangkan semula sedangkan kita sepatutnya harus meningkatkan tekanan kepada Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963.
“Saya berpendapat, belanjawan tersebut merupakan satu penghinaan kepada rakyat Sabah,” katanya ketika membahaskan ucapan Dasar Yang Di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Maharuddin pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, pada Isnin.
Ewon yang juga Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata pimpinan Sabah pada tahun 1976 telah menyerahkan buat selama-lamanya hak gas dan minyak di Sabah kepada Kerajaan Persekutuan melalui Petronas dan mereka menikmati berbilion hasil dari Sabah.
“Tidak mungkin provisi ini hanya bernilai RM26.7 juta sahaja untuk tahun-tahun yang seterusnya,” katanya.
Sehubungan itu beliau berharap, Ahli Dewan yang mengangkat mandat rakyat dan telah bersumpah mempertahankan Perlembagaan Persekutuan bersuara dan menuntut daripada Kerajaan Persekutuan agar pemberian khas di bawah Perkara 112C&D ditingkatkan dalam setiap Belanjawan Kerajaan Persekutuan.
“Kita menghargai inisiatif mengujudkan portfolio Sabah dan Sarawak dalam Kabinet Persekutuan yang diketuai oleh Ahli Dewan Rakyat daripada Sabah. Rakyat Sabah menanti hasil dan pencapaian portfolio ini.
“Rakyat sudah bosan dengan pembentukan jawatankuasa, majlis dan pelbagai platform atas nama mahu merundingkan pemberikan semula hak kepada Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963. Rakyat Sabah mahukan hasil dan pencapaian,” katanya.
Ewon turut merakamkan tahniah kepada Kerajaan Sabah di bawah pimpinan Yang Berhormat Senalang kerana mendapatkan persetujuan 17 daripada 21 Perkara mengenai Perjanjian Malaysia 1963 yang telah dirundingkan dalam Jawatankuasa Khas Sabah dan Sarawak terdahulu.
“Kini kita mengharapkan portfolio hal ehwal Sabah dan Sarawak serta Kerajaan Negeri Sabah dapat “membubut” pelaksanaan keputusan tersebut dan sepatutnya menuntut penyelesaian perkara-perkara yang selebihnya,” katanya.
Comments