top of page

Tingkatkan pelaburan, projek mega jalur lebar dalam pemulihan ekonomi Sabah - BIMP-EAGA Sabah

Wartawan Nabalu News

Pengerusi BIMP-EAGA Sabah Carl Moosom

17 Sept 2021

Oleh Jacquline Ebit dan Ilona Andrew


KOTA KINABALU: Ekonomi sabah boleh ditingkatkan dengan membuat pelaburan secara mendadak dan membuat projek mega bagi pembangunan infrastruktur berkaitan jalur lebar di pasca pandemik Covid-19 ini, kata Brunei-Indonesia-Malaysia-Philippines – East ASEAN Growth Area (BIMP-EAGA) Sabah.


Pengerusinya, Carl Moosom berkata, tumpuan juga perlu diberikan kepada pelabuhan dan lapangan terbang juga perlu dibaik pulih dan dinaiktaraf.


Beliau mencadangkan penaiktarafan Lapangan Terbang Sandakan sebagai lapangan terbang antarabangsa untuk menghubungkan lapangan terbang lain di rantau BIMP-EAGA.


Sabah juga perlu mengadakan pelabuhan daratnya sendiri yang ditempatkan di Kalabakan, tambahnya.


"Kelestarian sistem jalur lebar, dasar perdagangan khusus mempelawa pelabur asing yang lebih setiakawan dan polisi jangka pendek, sederhana dan panjang serta pengurusan dan pentadbiran yang terlibat dengan agensi persekutuan diturun kepada kerajaan negeri Sabah dengan tujuan pengurusan pelaburan lebih efisien," katanya semasa sesi forum UPKO sempena Hari Malaysia, baru-baru ini.


Menurut Carl, cabaran yang dihadapi ialah pembangunan ekonomi yang mana dasar utama semuanya diputuskan oleh persekutuan serta peruntukan dan pelaksanaan projek mega juga berpusat dari kementerian persekutuan.


Hasil sumber asli seperti getah, minyak, gas, sawit juga dikuatkuasakan oleh persekutuan termasuk pendapatan cukai dan pungutan hasil, katanya.


"Cabaran hebat kita hadapi ialah segala urus tadbir yang ingin kita laksankan perlu mendapat kelulusan daripada agensi persekutuan seperti MIDA, MATRADE, MCMC. Kita sebenarnya berterima kasih, walaupun semuanya yang saya sebutkan itu berpusat di KL tetapi pada hari ini mereka berpejabat di Sabah.


"Tetapi apa yang saya cuba maksudkan ialah perlu ada penyelerasan dengan pejabat daerah. Kekliruan yang selalu timbul ialah lesen niaga yang kita terima ataupun yang diproseskan adalah pada peringkat daerah, tetapi kes-kes yang sering diterima ialah kepayahan memenuhi keperluan lesen dari agensi persekutuan itu di mana biasanya mengambil masa enam bulan.


"Sebagai wakil BEBC, sektor swasta dan sebagainya kita mendapati kerajan kurang memberi perhatian sepenuhnya dengan inisiatif koperasi kerajaan. Ramai pelabur kita juga gagal mendapat kelulusan tuntas disebabkan ada sebahagian agensi kerajaan pusat mahupun negeri berbeda kepentingan dan berasingan hala tuju.


"Satu lagi cabaran ialah dari segi keselamatan... Sehingga hari ini, BIMP-EAGA masih lagi diklasifikasikan sebagai medan penjanaan pendatang tanpa izin (PTI) dan bukan penjanaan pembangunan ekonomi.


"Bagi pembangunan negara Malaysia, cadangan kami ialah supaya dasar ekonomi dan pertahanan perlu mengadakan satu jawatankuasa khas yang perlu dipengerusikan oleh kerajaan negeri Sabah atau Sarawak yang jawatannya mempunyai kepentingan dalam konteks pembangunan ekonomi serantau," jelasnya.


Menurut Carl lagi, BIMP-EGA inginkan penglibatan sektor swasta dalam sesi mesyuarat agar 'stakeholders' dapat berbincang bersama sekaligus menggubal dasar yang sesuai bagi kepentingan pengusah, peniaga, penduduk dan untuk negeri Sabah, Sarawak termasuklah Wilayah Persekutuan Labuan.


Dalam persiapan pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan Timur, beliau berkata Kerajaan Sabah dan Persekutuan juga perlu mengadakan satu pelan pembangunan khas bagi membangunkan sempadan Sabah dan Indonesia agar kitaran dan rantaian bekalan dapat direalisasikan bersama bagi mengimbang pelaburan dari negeri Sabah ke Kalimantan dan sebaliknya.


Jelasnya, tulang belakang ekonomi Sabah adalah sektor pertanian dan memerlukan tenaga buruh kerja yang mencukupi manakala kerisauan adalah pada tenaga buruh yang kebanyakannya datang daripada negara jiran.


"Tanpa tumpuan kepada sector ekonomi ini, kita juga menjangka hasil produk mentah juga akan berkurangan."

Comentários


bottom of page