top of page
  • Wartawan Nabalu News

Tonjolkan pakaian asli Suang Lotud pada pertandingan unduk ngadau Tuaran tahun ini


Pakaian asli Suang Lotud.

6 April 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


TUARAN: Penggiat Seni, Budaya dan Tradisi Suang Lotud mencadangkan agar busana atau pakaian asal dan asli masyarakat itu ditonjolkan para peserta Unduk Ngadau peringkat daerah Tuaran tahun ini bagi menyerlahkan lagi keanggunan sumandak asli Suang Lotud.


Dee Layun berkata, pakaian tradisional Suang Lotud yang asli juga harus dipadankan dengan dandanan rambut dikenali sebagai ‘sinulug kiginuli / sinungkok’.


Dee Layun

Katanya, ini kerana pertandingan unduk ngadau adalah antara platform terbaik pemerkasaan busana etnik Suang Lotud selain meningkatkan penguasaan bahasa ibunda agar ia tidak luput ditelan zaman.


“Besar harapan saya agar penganjuran pertandingan Unduk Ngadau Peringkat Daerah Tuaran tahun ini akan memberi fokus kepada peragaan busana asas dan asli Suang Lotud berserta dandadan rambut sinulug kiginuli/ sinungkok supaya dapat menyerlahkan citra sumandak Suang Lotud yang asli.


“Sebagai anak jati Suang Lotud saya tidak mahu melihat suatu hari nanti hanya dokumentasi yang tinggal untuk rujukan anak bangsa.


“Kalau bukan sekarang bila lagi dan kalau bukan Suang Lotud sendiri siapa lagi yang patut mengambil berat dan memainkan peranan dalam usaha menjaga dan memelihara budaya, adat resam dan bahasa Suang Lotud demi kelangsungan anak bangsa akan datang,” katanya.


Gambar Fail, tahun 2019.

Dee yang berpengalama 25 tahun sebagai juruandam dan 20 tahun sebagai juri pertandingan Unduk Ngadau peringkat kampung, daerah dan negeri berkata, pakaian tradisional tidak harus dimodenkan kerana ia boleh mengikis keaslian pakaian tradisional itu.


“Seni, Budaya dan Tradisi tidak wajar diubahsuai dan dimodenkan malah sewajarnya dipelihara dan diangkat martabatnya agar nilai estetika dan identiti Suang Lotud sentiasa gah dan merelang.


“Walaupun kita berada di era globalisasi yang dipacu dengan arus kemodenan namun tidak semua perkara harus dimodenkan,” katanya.


Menurut beliau, sudah tiba masanya menjaga dan memartabatkan keaslian pakaian Suang Lotud yang tidak dimodenkan semasa pertandingan akhir Unduk Ngadau daerah atau negeri.


“Pakaian tradisional Suang Lotud tidak wajar dimodenkan kerana pakaian asli itu mempunyai nilai estetika yang amat berharga. Ada sesetengah orang mengatakan …’ala zaman dulu-dulu memang tiada ni manik-manik sebab itulah tiada dijahit di baju tapi sekarang sudah moden jadi boleh bah semua supaya cantik…’


Saya tidak menegah untuk dijahit labuci pada busana ini kerana sejak zaman dahulu lagi memang ada dijahit labuci tetapi tidak sehingga melitupi separuh daripada busana tersebut dan mentaliti seperti ini akan merosakkan nilai estetika seni pada pakaian asli Suang Lotud dan kelak busana asli ini hanya tinggal kenangan dokumentasi dan bukan pada nilai aslinya yang dijaga sebaiknya agar generasi akan datang juga turut memelihara keasliannya,” katanya.


Dee berkata, bagi memartabatkan busana ini, ia bukan hanya berfokus kepada keaslian pakaian tetapi tatacara dan tertib pemakaian wajar dititikberatkan semua pihak.


“Ini kerana ada segelintir yang memperlekehkan tatacara dan tertib pemakaian busana Suang Lotud.


“Bila kita tidak mempunyai ilmu dan tidak pasti akan sesuatu perkara maka wajar kita mencari pakar rujuk supaya kita tidak melakukan kesilapan.


“Saya percaya Muzium Lotud di Tuaran juga mempunyai panduan tatacara serta tertib pemakaian busana Suang Lotud yang betul kerana sebelum ini bengkel pemurnian tatacara pemakaian busana ini telah diadakan yang disertai oleh Ketua Tantagas, para pemimpin Suang Lotud dan orang perseorangan.


“Hasil daripada bengkel tersebut telah dibukukan dan dimeterai sebagai bahan rujukan rasmi kepada tatacara pemakaian busana Suang Lotud,” katanya.


Comments


bottom of page