TRA lantik 3 pemegang amanah tandatangan dokumen premis baharu
- nabalunews
- Aug 10
- 1 min read

10 Ogos 2025
TAWAU: Persatuan Pemberita Tawau (TRA) hari ini sebulat suara meluluskan pelantikan tiga pemegang amanah bagi menandatangani dokumen pembelian premis baharunya di Garden City.
Tiga pemegang amanah itu ialah Pengerusi, Tan Chin Cheng; Naib Pengerusi, Woo Soon Fatt dan Setiausaha, Low Hong Tat yang dilantik semasa Mesyuarat Agung Khas (Extraordinary General Meeting).
Mereka akan mewakili persatuan dalam melengkapkan urusan jual beli premis baharu, sekaligus menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha memindahkan premis TRA.
Menurut Tan, premis lama persatuan di tingkat empat Kompleks sudah lama tidak digunakan kerana kedudukannya yang tinggi, sukar diakses serta faktor keselamatan.
Katanya, bagi memenuhi keperluan jangka panjang dan kemudahan ahli, persatuan memilih sebuah unit di tingkat satu Garden City berharga RM400,000 yang dianggap lebih sesuai dari segi lokasi, akses dan keselamatan.
"Mesyuarat Agung Khas (Extraordinary General Meeting -EGM) ini diadakan mengikut perlembagaan dan ahli sebulat suara bersetuju melantik pemegang amanah menguruskan urusan pembelian.
"Kehadiran ahli yang ramai pada hari ini, mencerminkan sokongan padu terhadap pembangunan persatuan,"katanya.
Tan berkata, Majlis Makan Malam Hari Wartawan dan Kutipan Dana yang akan diadakan pada 1 September depan di Dewan SJK (C) Yuk Chin akan menjadi platform mengumpul sumbangan masyarakat demi merealisasikan hasrat memiliki premis baharu.
Menurutnya, sejak penubuhannya sekitar 1997, TRA aktif dalam kerja kebajikan dan media, merakam perkembangan tempatan serta menyampaikan suara masyarakat.
Beliau yakin, premis baharu ini dijangka akan menyediakan kemudahan lebih baik dan platform berkualiti untuk aktiviti kewartawanan di Tawau.


















Comments