top of page
  • nabalunews

Turunkan ucapan takziah PM di media sosial, Meta perlu mohon maaf secara terbuka


5 Ogos 2024


KUALA LUMPUR : Pejabat Perdana Menteri (PMO) menuntut Meta Platforms Inc (Meta) memohon maaf secara terbuka dan memberikan penjelasan terperinci atas tindakan mereka menurunkan ucapan takziah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh daripada platform media sosial konglomerat itu.


Perkara itu dinyatakan kepada wakil Meta Inc, yang dipanggil oleh Bahagian Media dan Komunikasi Strategik PMO di Putrajaya, hari ini.


Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.


"Bahagian Media dan Komunikasi Strategik PMO memanggil Meta bagi menuntut penjelasan terkait tindakan penurunan beberapa hantaran di platform Facebook dan Instagram milik Perdana Menteri bertarikh 14 Mei dan 30 Julai lalu.


"PMO menzahirkan rasa jelik terhadap tindakan Meta menurunkan hantaran Perdana Menteri yang menzahirkan ucapan takziah dan penghormatan terhadap Asy Syahid Ismail yang dibunuh baru-baru ini.


"PMO melihat tindakan Meta itu sebagai satu bentuk diskriminasi, sikap tidak adil dan menyekat kebebasan berpandangan, selain penghinaan terhadap perjuangan sah rakyat Palestin yang menuntut keadilan dan hak asasi manusia," katanya dalam kenyataan, hari ini.


PMO turut menegaskan, tindakan menurunkan hantaran itu memberi kesan mendalam kepada rakyat Malaysia dan masyarakat dunia yang memahami penderitaan rakyat Palestin serta menentang kezaliman rejim Zionis Israel seperti terpahat dalam lipatan sejarah.


"Keputusan unilateral untuk menapis kandungan tanpa pertimbangan terhadap konteks hantaran, jelas menimbulkan persoalan mengenai ketelusan dalam dasar penapisan kandungan Meta," katanya.


Sementara itu, PMO juga melahirkan rasa kesal dengan insiden sekatan siaran langsung menerusi Facebook membabitkan akaun Berita RTM yang menyiarkan Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi.


Katanya, seperti dijanjikan dalam pertemuan hari ini, satu kenyataan media akan dikeluarkan pihak Meta dalam masa terdekat.


Semalam, Fahmi memaklumkan, satu pertemuan akan diadakan bersama pihak Meta berhubung isu penurunan kandungan berkaitan Palestin daripada media sosial Perdana Menteri, hari ini.


Dalam laporan media sebelum ini, Fahmi menyatakan kekesalan kerajaan dengan tindakan penurunan hantaran oleh Perdana Menteri berhubung pembunuhan Ismail oleh pihak Meta dan sudah memohon penjelasan berhubung perkara itu.


Semakan di akaun Instagram Perdana Menteri mendapati tiga hantaran beliau pada 31 Julai lalu yang mengutuk pembunuhan Ismail dan berkongsi gambar pertemuan dengan pemimpin Hamas itu diturunkan daripada aplikasi media sosial berkenaan.


Penurunan hantaran itu disertakan dengan kapsyen 'Dangerous individuals and organisations'.


Ia menyebabkan PMO mengecam tindakan Meta berkenaan, manakala Perdana Menteri pada Khamis lalu memberi peringatan terhadap pihak Meta supaya tidak menjadi perkakas rejim Zionis.

Comments


bottom of page