Ucapan perbahasan Ahli Parlimen Tuaran keatas usul menjunjung kasih titah Diraja
top of page
  • nabalunews

Ucapan perbahasan Ahli Parlimen Tuaran keatas usul menjunjung kasih titah Diraja


15 Februari 2023


Perbahasan Oleh Yang Berhormat Wilfred Madius Tangau Ahli Parlimen P.170 Tuaran

Pada 15 Feb 2023 Keatas Usul Menjunjung Kasih Titah di Raja 2023


Terima kasih Tuan Yang DiPertua kerana memberi peluang kepada Tuaran untuk turut serta membahaskan Usul Menjunjung Kasih ke atas Titah di Raja yang telah dibentangkan oleh Ahli Parlimen Titiwangsa.


Titah diRaja 2023 mengandungi lebih 16 Agenda Pembangunan utama. Tuaran berpendapat bahawa saranan di Raja ini bukan saja perlu diberi sokongan padu, malah setiap saranan Tuanku memerlukan pelan tindakan pelaksanaan yang tersusun rapi agar matlamat dan hasratnya dapat direalisasikan.


Titah Tuanku pada kali ini bersejarah kerana inilah kali terakhir Tuanku bertitah di Dewan yang Mulia ini. Disebaliknya pula, Yang Amat Berhormat Tambun, Perdana Menteri ke10 pula baru bermula sebagai Perdana Menteri setelah berjuang di atas landasan reformasi selama 24 tahun. Tuaran mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas diatas pelantikan YAB Tambun sebagai Perdana Menteri yang Ke10 dan tahniah juga kepada semua anggota Jemaah Kabinet yang dilantik untuk melaksanakan gagasan Malaysia Madani.


Seperti juga dengan kesemua Agenda Pembangunan negara yang terdahulu, cabaran utamanya adalah pelaksanaan. Penentu kejayaan adalah: faktor sistem penyampaian dan komitmen serta Integriti kepemimpinan disemua peringkat.


Setelah mendengar Titah diRaja tersebut, pertanyaan pertama daripada Tuaran kepada YAB Perdana Menteri dan semua anggota Jemaah kabinet ialah apakah Pelan Tindakan Pelaksanaan telah dibuat termasuk pengujudan dasar dan program serta sistem pemantauan dan penilaian untuk memastikan sasaran tercapai tepat pada masanya. Contohnya, apakah pelan tindakan yang konkrit supaya setibanya tahun 2025 kemiskinan tegar di negara ini telah disifarkan? Apakah dasar dan pelan tindakan untuk menangani pendatang Tanpa Izin, pelarian, penduduk stateless dan orang asing yang memiliki dokumen kewarganegaraan secara rasuah dan salah guna kuasa?


Kemudian apakah Pelan Tindakan Pelaksanaan untuk setiap saranan dalam Titah diRaja seperti:

  • Menurunkan kos sara hidup

  • Membina Infrastruktur luar bandar yang berkualiti dan selesaikan masalah kedaifan infra luar bandar

  • Menyelesaikan masalah sekolah-sekolah daif

  • Pembudayaan Integriti;

  • Melahirkan budaya inovatif;

  • Mengoptimumkan Pengeluaran bahan makanan;

  • Pelaksanaan sepenuhnya Perjanjian Malaysia 1963;

  • Pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo;

  • Membina perumahan berkualiti dan mampu milik untuk B40

  • Membela hak kanak-kanak;

  • Memperkasakan Wanita;

  • Memperkasakan Belia dan Beliawanis;

  • Mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing;

  • Pengujudan sistem kesihatan dan perubatan yang mampan;

  • Meningkatkan pelaburan dalam sektor pembuatan

  • Melaksanakan dasar Luar yang bermanfaat kepada rakyat dan negara;

  • Pengurusan bencana alam yang berkesan dan banyak lagi.

Dalam kesemua cabaran pembangunan yang saya sebut diatas sebahagian besar daripada cabarannya adalah terletak di Wilayah Sabah. Sebagai contoh:

  • 8 daripada 10 daerah termiskin di Malaysia adalah di Sabah;

  • Sabah mempunyai kadar kemiskinan yang tertinggi di Malaysia pada tahap 25%

  • Sabah mengalami kadar Non Revenue Water yang tertinggi di negara ini iaitu 55-60%

  • Sabah mempunyai sektor pembuatan yang terkecil ia itu hanya 7% keadaan GDP Sabah

  • Sabah mempunyai kadar SIDI ia itu gangguan bekalan elektrik dan gangguan bekalan air yang tertinggi dì Malaysia

  • Sabah mempunyai kadar harga barang yang tertinggi di Malaysia

  • Jumlah export dalam kiraan container dari seluruh Sabah hanyalah 400,000 TEUs berbanding dengan 10 Juta di Pelabuhan Tanjung Pelepas

Oleh itu Tuaran mohon mencadangkan agar reformasi urus tadbir dan tata kelola di negara kita dalam sektor-sektor berikut:

  • Sektor Penternakan haiwan

  • Sektor Perikanan

  • Sektor Pertanian

  • Sektor Perhutanan dan alam sekitar

  • Sektor Bekalan air

  • Sektor Bekalan elektrik

  • Sektor Kerja Raya

  • Sektor Pelabuhan dan perkapalan

  • Sektor Tenaga kerja dan

  • Sektor kerajaan tempatan

Dalam sektor-sektor tersebut Wilayah Sabah, Wilayah Semenanjung dan Wilayah Sarawak di urustadbir secara beroutonomi. Namun, Wilayah Semenanjung menggunakan hasil pungutan persekutuan sepenuhnya untuk membiayai bajet mengurus dan pembangunan. Manakala wilayah Sabah dan Wilayah Sarawak pula menggunakan hasil pungutan Wilayah masing-masing. Tentunya ini tidak adil bagi kedua-dua wilayah. Wilayah Sabah dan Wilayah Sarawak hanya mendapat bajet daripada persekutuan dalam bentuk pinjaman yang sudah semestinya dibayar balik pada kadar 4% disemua sektor tersebut. Bolehkah kita mencapai sasaran agenda pembangunan negara dalam keadaan begini. Apakah kita benar-benar berlaku adil kepada Wilayah Sabah dan Wilayah Sarawak seperti mana yang dijanjikan dalam Perjanjian Malaysia?


Sebab itulah Tuaran menyokong penuh perlantikan seorang Timbalan Perdana Menteri daripada Wilayah Sabah dan Sarawak dalam Kerajaan Perpaduan ini yang bertanggung jawab untuk memastikan adanya penyelarasan dasar, program dan bajet pembangunan dalam semua sektor yang beroperasi secara otonomi tersebut. Dalam hal ini Tuaran mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada YAB Petra Jaya diatas pelantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Tuaran berharap agar setiap sektor yang saya sebut tadi YAB Petra Jaya mengambil langkah-langkah positif untuk membentuk Majlis Penyelarasan di semua sektor yang saya sebut tadi yang akan di anggotai oleh YAB Ketua Menteri Sabah, YAB Premier Sarawak dan YB Menteri Persekutuan yang berkenaan.


Dalam hal pemberian khas kepada Sabah, Tuaran meminta agar Dewan yang Mulia ini bersetuju agar setiap hak-hak Sabah seperti mana yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan juga dalam tawaran-tawaran atau manifesto oleh Pakatan Harapan dan parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan hendaklah dilaksanakan sepenuhnya. Tuaran telah menyebut berkali-kali di Dewan yang Mulia ini bahawa Perkara 112C (1) (a) Seksyen 2(1) Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan adalah hak Sabah. Ia adalah syarat penting dalam pembentukan Malaysia. Rakyat Sabah minta supaya hak ini dilaksanakan dengan segera. Malah diatas aspirasi kuat rakyat Sabah maka Pakatan Harapan Sabah telah memfailkan Saman Pemula terhadap Kerajaan Persekutuan tentang perkara ini agar mahkamah dapat menentukan halatuju hak ini dan sehingga kini masih lagi dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi bersama-sama dengan Judicial Review yang telah difailkan oleh Sabah Law Society (SLS) . Pihak kami boleh mempertimbangkan untuk menarik balik saman tersebut jika sekiranya Kerajaan Persekutuan melaksanakan tuntutan Sabah sepenuhnya.


Pelaburan dalam sektor pembuatan di Wilayah Sabah sangat kritikal untuk ditingkatkan. Kita boleh berbangga dengan RM1.552 Trillion nilai export negara pada Dec tahun 2022, namun Tuaran ingin bertanya berapakah sumbangan Sabah daripada jumlah nilai export tersebut. Dan berapakah jumlah containers yang dihasilkan daripada Sabah? Tuaran sedar bahawa pembinaan tambahan Pelabuhan Sepanggar hanya akan siap pada tahun 2025 dan pada ketika itu, pelabuhan Sepanggar boleh handle 1.25TEUs. Namun peranan Kerajaan Persekutuan untuk bertindak meningkatkan pelaburan sektor pembuatan di Sabah sangatlah penting untuk mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan seterusnya menjana pertumbuhan ekonomi.


Untuk menurunkan kadar kemiskinan di Sabah dari 25% kepada sifar menjelang tahun 2025, sistem penyampaian serta kerjasama seluruh Jentera Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah hendaklah ditingkatkan. Keupayaan urus tadbir dan Sumber Manusia serta Integriti dalam agensi dan institusi yang terlibat secara langsung dalam pembasmian kemiskinan seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) khususnya perlu di pertingkatkan dengan segera. Tuaran mencadangkan agar modal pusingan AIM untuk Sabah perlu di tambah secara berperingkat daripada RM300 juta yang sedia ada kepada RM1 Billion menjelang tahun 2025. Pada Tuaran langkah ini kritikal jika sekiranya kerajaan serius untuk mensifarkan kadar kemiskinan tegar di negara ini menjelang tahun 2025.


Dalam hal kebanjiran warga asing di Sabah sudah tiba masanya bagi kerajaan persekutuan menyelesaikan perkara ini secara tuntas dan diurus tadbir seperti mana yang telah ditawarkan dalam manifesto Pakatan Harapan ia itu selesaikan perkara ini dengan pendekatan 4 kategori masalah. Sebagai permulaan reformasi dalam urus tadbir Kewarganegaraan di negara ini amnya dan khususnya di Sabah hendaklah dilaksanakan.


Prasarana luar bandar khususnya naik taraf Jalan-jalan luar bandar; Bekalan air Luar bandar; Bekalan elektrik Luar bandar; Jalan-Jalan perhubungan desa; Jalan-Jalan pertanian; jambatan-Jambatan gantung dan lampu-lampu jalan hendaklah diselesaikan dengan segera. Bagi Tuaran, diantara aspirasi rakyat yang sangat mendesak ialah bekalan air bersih yang sangat keritika. Catuan air berhari-hari sudah menjadi cara hidup kita dan ini mesti diubah. Tuaran mencadangkan supaya Timbalan Perdana Menteri II memberi keutamaan untuk membuat penyelarasan agar Sabah mendapat peruntukan yang sewajarnya untuk menyelesaikan masalah Sumber Air dapt diatasi dengan segera.


Dalam hal lampu-lampu jalan, rakyat Saya di Tuaran sering mengeluh dan merungut kerana keadaan jalan Jalan persekutuan dari Pekan Telipok ke Berungis dan seterusnya ke Pekan Tamparuli dan juga dari Bulatan Berungis sampai ke Pekan Tenghilan dan juga sepanjang jalan Sulaman senantiasa gelap pada waktu malam. Sebenarnya lampu jalan ada tetapi peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan hanyalah RM50,000. Setahun.Tuaran mencadangkan agar penyelenggaraan lampu-lampu jalan ini diswastakan dan diberi peruntukan yang mencukupi dengan menggunakan teknologi solar.


bottom of page