top of page
  • nabalunews

Ucapan perbahasan Datuk Ewon Benedick ke atas ucapan dasar kerajaan



22 Sept 2021


Tuan Speaker,


1. Terima kasih kerana memberikan ruang kepada saya untuk mengambil bahagian membahaskan ucapan dasar Kerajaan yang telah disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah pada hari kelmarin. Perkara Berkaitan Pandemik Covid-19


2. Sidang Dewan ini diadakan tatkala negara kita sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19. Setakat hari Ahad lepas, jumlah kumulatif kes positif di negara kita adalah sebanyak 2,097,830; jumlah kematian 23,443.


Di Sabah, jumlah kumulatif kes adalah sebanyak 185,577; jumlah kematian 1,916. Saya mengucapkan takziah kepada semua keluarga yang telah kehilangan insan tersayang akibat Covid-19.


3. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan, khususnya anggota perkhidmatan kesihatan.


4. Berkenaan program pemberian vaksin pula, Sabah masih lagi terkebelakang dari segi peratusan penduduk lengkap dos vaksin. Setakat Ahad lepas, hanya 56.6% sahaja populasi dewasa di Sabah telah lengkap divaksin.


5. Soalan lisan saya berkaitan data program vaksin ini diletakkan senarai pertama besok. Tetapi untuk makluman Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, saya ingin mendapatkan penjelasan lebih terperinci, iaitu daripada jumlah keseluruhan populasi yang telah lengkap divaksin tersebut, berapakah jumlah yang mendapat vaksin melalui temujanji aplikasi MySejahtera, berapa jumlah yang melalui pendaftaran dengan klinik kesihatan dan klinik desa, berapa jumlah secara walk in serta berapakah pula jumlah penduduk bukan warganegara yang telah diberikan vaksin di Sabah?


Tuan Speaker,


6. Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan, siapapun yang duduk di kerusi Eksekutif, untuk menyediakan dasar, belanjawan dan program kepada rakyat. Kita tidak mahu menuding jari mencari silap, tetapi dari segi sense of urgency, dan sense of empathy yang telah ditunjukkan setakat ini semasa berhadapan dengan krisis kesihatan dan krisis ekonomi, rasanya ia boleh diperbaiki dan sepatutnya tidak membawa kita kepada situasi yang lebih kritikal.


7. Saat menghadapi krisis, rakyat memerlukan leadership atau kepimpinan yang kuat daripada pemerintah. Dan kepimpinan itu boleh diperkasakan dengan semangat kerjasama dan libat urus dengan semua pihak merentasi sempadan politik.


8. Saya telah mengemukakan Usul Khas kepada Dewan Yang Mulia ini agar kita membuat ketetapan cadangan enakmen baharu yang berkaitan dengan pengawalan penyakit berjangkit, kuasa berkenaan Standard Operating Procedure (SOP) dan program kesihatan awam rakyat Sabah. Saya mengalu-alukan respon positif yang telah diberikan oleh Ketua Menteri dan Timbalan Ketua Menteri berkaitan dengan usul ini.


9. Saya maklum usul ini ditolak kerana Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 telah dibuat di peringkat Kerajaan Persekutuan dan pindaan ke atas Ordinan Kesihatan Awam 1960 Sabah yang dibuat pada tahun 1971 dan 1975 telah menyerahkan kuasa negeri kepada Menteri dan Ketua Pengarah Kesihatan Persekutuan.


10. Saya berpendapat sudah tiba masanya Kerajaan Negeri memperkasakan bidang kuasanya dalam hal kesihatan. Kita semua yang diberi mandat duduk di dalam Dewan Yang Mulia ini berjuang menuntut pelaksanaan tuntas Perjanjian Malaysia 1963 dan hak-hak kita dalam Perlembagaan Persekutuan. Justeru, bukankah sepatutnya kita menuntut decentralization of federal power? Agak janggal rasanya apabila kita bercakap mengatakan kita berjuang menuntut hak tetapi tidak pula kita memulakan proses decentralization of federal power and service bagi Sabah.


11. Jika tidak dengan mewarta enakmen baharu sekalipun, kita boleh meminda Ordinan Kesihatan Awam Sabah tersebut untuk mengembalikan semula kuasa kita dan memperluaskan cakupan perundangan berkaitan kawalan penyakit berjangkit. Bidang kesihatan merupakan Senarai Bersama di dalam Perlembagaan Persekutuan, justeru tiada salahnya kita menyediakan ordinan kita sendiri bagi melengkapkan Akta yang ada di peringkat persekutuan.


12. Kerajaan Negeri perlu diperkasakan agar dapat memberi respon dan membuat keputusan cepat bagi menghadapi pandemik atau kelak endemik Covid-19 ini. Kita tidak mahu lagi Ketua Menteri membuat pengumuman, tetapi Kerajaan Persekutuan tidak memperakukannya dalam warta atau mengambil masa berminggu-minggu untuk mewartakan arahan Ketua Menteri tersebut.


13. Saya turut mencadangkan agar Kerajaan memperkenalkan program bantuan supplement kesihatan seperti Vitamin C kepada rakyat Sabah bagi meningkatkan antibodi badan. Saya cadangkan agar belanjawan tambahan disediakan untuk program ini dan memberikan supplement kesihatan ini secara percuma kepada rakyat Sabah, khususnya kepada kanak-kanak, murid sekolah, warga emas dan keluarga berpendapatan rendah.


14. Menteri Kesihatan telahpun menyatakan kita bakal memasuki fasa endemik Covid-19. Justeru, program meningkatkan antibodi rakyat ini sangat penting. Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada vaksinasi semata-mata. Daripada Kerajaan mahu berbelanja lebih besar untuk program dos booster vaksin, saya berpendapat lebih elok perbelanjaan itu digunakan untuk memberikan supplement kesihatan kepada rakyat kita.


15. Saya juga ingin kongsikan aduan yang dikemukakan oleh rakyat Kadamaian kepada saya. Banyak yang mengadu tidak menerima bantuan bakul makanan daripada Kerajaan sepanjang tempoh kuarantin walaupun sudah mengemukakan surat arahan kuarantin daripada pejabat kesihatan kepada pejabat penyelaras bantuan. Saya berharap koordinasi di antara pejabat kesihatan dan pejabat penyelaras bantuan dapat dimantapkan supaya bantuan bakul makanan dan supplement kesihatan dapat diberikan cepat kepada keluarga yang memerlukan.


Perkara Berkaitan Perjanjian Malaysia 1963


Tuan Speaker,


16. Saya juga ingin mendapatkan penjelasan daripada Kerajaan apakah status terkini 21 Perkara tuntutan kita berkaitan Perjanjian Malaysia. Semasa Kerajaan Negeri pimpinan Yang Berhormat Senalang sebelum ini, kita dimaklumkan 17 Perkara telah diputuskan dan hanya perlu dimuktamadkan untuk dilaksanakan. Apakah status terkini 17 Perkara tersebut dan 4 Perkara yang selebihnya?


17. Berkenaan dengan hak kita di bawah Perkara 112 C & D Perlembagaan Persekutuan, iaitu pemberian semula dua perlima atau 40 peratus hasil yang diperolehi oleh Kerajaan Persekutuan daripada Sabah, saya mencadangkan agar sebuah enakmen baharu iaitu Enakmen Pemungutan Semula Hasil Persekutuan di Sabah dapat diwartakan oleh Dewan Yang Mulia ini supaya kita terus memungut hasil ini tanpa perlu dihantar ke Persekutuan. Di bawah enakmen ini, kita boleh tetapkan terma dan mekanisme pemungutan hasil tersebut sesuai dengan Perkara 112 C & D tersebut.


18. Hak kita ini sudah ada dalam Perlembagaan Persekutuan. Justeru, kenapa kita tidak gunakan platform Dewan Yang Mulia ini untuk memperkasakan kuasa kita bagi menuntut hak kita dalam Perlembagaan Persekutuan?


19. Saya juga ingin mengulangi syor saya agar kita mengujudkan sebuah Jawatankuasa Khas Dewan Undangan Negeri Sabah bagi membantu Kerajaan Negeri menuntut hak-hak kita menggunakan platform Dewan Yang Mulia ini. Inilah tempat terbaik kita memuktamadkan perjuangan kita. Saya mencadangkan agar semua Akta baharu yang mahu diperkenalkan di Dewan Rakyat yang melibatkan kepentingan Sabah perlu dibawa ke Dewan ini untuk ratifikasi, bukan persetujuan daripada Kabinet Negeri semata-mata.


20. Mari kita ambil ikhtibar keputusan Kerajaan Negeri Sabah pada tahun 1976 apabila Ketua Menteri dan seorang Menteri Negeri menandatangani Akta Kemajuan Petroliam 1974 yang menyerahkan hak ke atas sumber asli terbesar Sabah kepada Petronas tanpa ratifikasi Dewan ini. Kita juga tidak tahu samada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah telah memberi perkenan kepada Akta tersebut ketika itu? Dewan ini boleh buat ketetapan untuk menentukan keabsahan Akta Kemajuan Petroliam tersebut.


21. Tiada Akta yang tidak boleh dipinda sedangkan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri juga boleh dipinda. Jadi kenapa kita tidak bincang di Dewan ini keabsahan Akta Kemajuan Petroliam tersebut dan sebarang perjanjian yang dibuat berkaitan dengannya.


22. Itu sebabnya peranan Dewan Yang Mulia ini sangat besar kerana inilah yang mewakili suara rakyat. Kalau Eksekutif Negeri sahaja yang membuat keputusan berkaitan hak Sabah dengan membelakangkan kuasa Dewan ini, maka ianya menjadi tanggungjawab blok Kerajaan sahaja. Tetapi kalau platform Dewan ini digunakan untuk memuktamadkan sebarang perkara berkaitan hak Sabah, maka ianya menjadi tanggungjawab kesemua Anggota Dewan iaitu merentasi sempadan parti samada blok kerajaan, blok pembangkang atau blok bebas.


Tuan Speaker,


23. Daripada pilihanraya kecil Kimanis kepada pilihanraya negeri Sabah tahun lalu, kita mendengar retorik pemimpin-pemimpin dari “tanah seberang sana” yang menjanjikan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963. Saya perlu rekodkan dalam Dewan ini bahawa Perdana Menteri sekarang ini tidak menyokong semangat Perjanjian Malaysia semasa pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan yang bertujuan mengembalikan semula status Sabah dan Sarawak dibentangkan di Dewan Rakyat pada tahun 2019. Itulah yang akan berlaku jika kepentingan parti melebihi kepentingan rakyat.


24. Kita boleh bentangkan semula Usul Khas di Dewan ini mendesak agar pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan tersebut dibentangkan semula di Dewan Rakyat. Mudah-mudahan Yang Berhormat Lamag selaku juga Timbalan Ketua Menteri kini akan menyokong pindaan ini bermula di Dewan ini dan seterusnya di Dewan Rakyat.


25. Kerajaan Negeri hari ini perlu menunjukkan leadership mewakili aspirasi rakyat Sabah dan bukan mewakili aspirasi ibu pejabat parti yang terletak di Kuala Lumpur. Itu sebabnya saya berpendapat platform melalui Dewan Yang Mulia ini perlu diperkasakan dan digunakan sepenuhnya sesuai dengan aspirasi rakyat kita. Dalam politik negeri, kita mungkin berbeza parti, tetapi dalam soal menuntut pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan, kita perlu jadi satu keluarga Sabah yang bersatu hati, tenaga, fikiran, semangat juang dan kerjasama!


Tuan Speaker,


26. Seperkara lagi yang berkaitan dengan semangat Perjanjian Malaysia ini ialah pengumuman Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri berkenaan cadangan Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam. Saya menghargai respon tegas Yang Amat Berhormat Ketua Menteri mengenai perkara ini jika diteruskan di Sabah. Tetapi kita perlukan leadership yang lebih kuat lagi.


27. Walaupun ada penjelasan susulan yang diberikan oleh Timbalan Menteri berkenaan, tetapi kita perlu pertahankan status quo bagi Labuan supaya akta tersebut tidak dilaksanakan di situ. Ini kerana Labuan masih menjadi sebahagian daripada wilayah Sabah semasa Perjanjian Malaysia ditandatangani pada tahun 1963. Ramai penduduk tanah besar Sabah yang bermastautin dan bekerja di Labuan pasti terkesan jika akta ini diteruskan di wilayah-wilayah persekutuan.


28. Kebebasan beragama merupakan satu daripada tiga tuntutan utama rakyat Sabah yang diperjuangkan oleh mendiang G. S. Sundang dan bapa-bapa pengasas Malaysia lain daripada Sabah sehinggakan ia dipahat di Batu Sumpah Peringatan Malaysia. Justeru, kalau kita mahu menuntut pelaksanaan Perjanjian ini, maka kita pertahankan semangatnya juga. Labuan masih sebahagian daripada Sabah ketika itu, dan kita perlu pertahankan status quo ini.


Tuan Speaker,


29. Media telah melaporkan syor oleh Timbalan Ketua Menteri agar Perjanjian Malaysia yang baharu harus dibuat. Saya ingin meminta penjelasan daripada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri apakah pendirian rasmi Kerajaan Negeri berhubung syor tersebut?


30. Pada saya, kalau betul Perjanjian Malaysia 1963 itu tidak dapat dilaksanakan atau gagal dilaksanakan, kenapa kita tidak bawa perjanjian ini ke Mahkamah Antarabangsa untuk menentukan keabsahannya? Pada pandangan saya, perjanjian baharu tidak wajar dibuat selagi ianya tidak melibatkan pihak-pihak asal yang menandatangani Perjanjian Malaysia 1963 tersebut atau sekurang-kurangnya keabsahan itu diputuskan di Mahkamah Antarabangsa.


Perkara Berkaitan Aspirasi Rakyat di DUN Kadamaian


Tuan Speaker,


31. Saya juga ingin membangkitkan aspirasi rakyat Kadamaian.


32. Pertama, adakah Kerajaan Negeri yang ada hari ini bersedia menjadikan Pelan Pembangunan Kadamaian, 2020-2035 yang telah siap dibuat oleh Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah dan Pejabat UPPM Kadamaian sebelum ini sebagai asas kepada pelaksanaan pembangunan di DUN Kadamaian?


33. Kedua, saya ingin mendapatkan penjelasan daripada Menteri Kerja Raya apakah status semasa projek naiktaraf jalan luar bandar bagi jalan-jalan utama di DUN Kadamaian seperti berikut:- (i) Jalan Tengkurus Lahanas (ii) Jalan Nahaba Sayap Mansulit (iii) Jalan Taginambur Podos Gensurai (iv) Jalan Gaur Pinolobuh Mengkulat (v) Jalan Kaung Lobong-Lobong (vi) Jalan Kinasaraban Mandap Doluoh (vii) Jalan Kebidahan (viii) Serta pembaikan kerosakan jalan utama Jalan Kiau dan jalan-jalan lain menuju ke sekolah-sekolah lain di DUN Kadamaian.


34. Ketiga, apakah pendirian Kerajaan Negeri hari ini terhadap cadangan pembubaran Hutan Simpan Wariu di DUN Kadamaian yang pernah saya kemukakan kepada Kerajaan Negeri pimpinan Yang Berhormat Senalang sebelum ini melalui memorandum kabinet?


35. Keempat, saya mencadangkan kajian semula sempadan Taman-Taman Sabah di kawasan perkampungan Sayap dan mukim Lasau di DUN Kadamaian supaya tanah pertanian dan perumahan penduduk kampung dapat diluaskan. Apakah Kerajaan Negeri bersedia mengangkat aspirasi rakyat di kedua-dua perkampungan ini?


36. Kelima, saya ingin mendapatkan penjelasan daripada Menteri Pertanian dan Industri Makanan dan Menteri Kerja Raya berkenaan dengan status semasa rancangan pembaikan tebing Sungai Kadamaian dan jambatan-jambatan serta bangunan-bangunan di sepanjang Sungai Kadamaian yang berhadapan dengan ancaman hakisan tebing sungai.


37. Keenam, saya juga ingin mendapatkan penjelasan status semasa program penyukatan tanah secara PANTAS di kampung-kampung di DUN Kadamaian sepertimana dinyatakan dalam ucapan penggulungan Kerajaan yang lepas.


38. Ketujuh, saya ingin mendapatkan penjelasan berkenaan inisiatif menaiktaraf liputan telekomunikasi dan capaian internet di kampung-kampung di DUN Kadamaian?


39. Kelapan, apakah rancangan Kerajaan untuk membantu kawasan tanah rendah yang selalu banjir semasa musim hujan lebat seperti di Kg Pompod, Kg Pangi, Kg Pahu, Kg Minangkob dan Kg Lasau Tintapon? Dan adakah mangsa-mangsa banjir di kampung-kampung ini layak menerima bantuan RM1,000 sepertimana disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir di Penampang.


Perkara Berkaitan Pendatang Asing Tanpa Izin


Tuan Speaker,


40. Saya juga ingin menyentuh perkara berkaitan dengan masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah. Baru-baru ini Timbalan Menteri Dalam Negeri telah menyatakan di Dewan Rakyat bahawa Kementeriannya mempertimbangkan akan memberi kad pengenalan atau kewarganegaraan kepada penerima vaksin di Sarawak dan Sabah yang belum mempunyai identiti diri. Perkara ini boleh dimanipulasi dan disalahgunakan. Apatah lagi ianya direkodkan di hansard Parlimen.


41. Oleh itu, saya ingin meminta penjelasan daripada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri apakah pendirian Kerajaan Negeri terhadap kenyataan tersebut?


42. Jika benar ini dilaksanakan, maka ianya amat mendukacitanya. Ia akan menjadikan Kerajaan Negeri pimpinan Yang Amat Berhormat sebagai mesra pendatang asing kerana bukan hanya memberikan kemudahan vaksinasi yang sudah tentunya melibatkan duit cukai warganegara, tetapi pula akan memberikan kad pengenalan atau kewarganegaraan kepada mereka. Ini perlu dijelaskan di Dewan Yang Mulia ini.


43. Yang rakyat Sabah mahukan ialah bilakah Kerajaan akan menghantar balik “kumpit-kumpit” dan pendatang asing ini balik ke negara asal mereka. Bilakah Kerajaan Negeri akan menggunakan kuasa yang ada padanya untuk menghantar semula pendatang asing ini ke negara asal sepertimana pernah dicadangkan oleh Yang Berhormat Tambunan sebelum beliau menjadi Timbalan Ketua Menteri?


44. Rakyat Sabah mahukan leadership dan political will samada di peringkat Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan mengenai masalah ini. Saya ingin peringatkan Dewan Yang Mulia ini betapa seriusnya masalah pendatang asing ini sehingga boleh membatalkan kemenangan dalam pilihanraya sepertimana ditunjukkan dalam petisyen DUN Likas pada tahun 1999 kerana mereka mempunyai kad pengenalan meragukan dan berdaftar sebagai pengundi.


45. Kita tidak boleh bertoleransi mengenai soal kedaulatan dan keselamatan rakyat Sabah. Bukti-bukti sepertimana direkodkan di Suruhanjaya Siasatan Diraja Mengenai Pendatang Asing Di Sabah dan kesaksian di Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Mengenai Integriti cukup jelas menunjukkan kebanjiran pendatang asing ini akan mengkompromikan keselamatan rakyat Sabah. Oleh sebab itu, kita mahukan penjelasan rancangan tuntas Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan masalah ini.


Perkara Berkaitan Agenda Reform


Tuan Speaker,


46. Saya mengalu-alukan agenda reform merentasi sempadan politik yang sedang diusahakan di peringkat Kerajaan Persekutuan. Agenda reform yang baik untuk rakyat dan negara perlu disokong dan diusahakan secara bersama bukan bertujuan untuk mengekalkan kedudukan Kerajaan tetapi kerana niat dan aspirasi agenda tersebut perlu dilaksanakan sesuai dengan kemajuan demokrasi dan keperluan tadbir urus negara kita.


47. Pada saya, sebarang kerjasama rentas sempadan politik haruslah diperkenalkan di awal pentadbiran atau pemerintahan mana-mana Kerajaan, bukannya di penghujung tempoh atau hanya pada ketika pemerintahan itu berhadapan dengan krisis dalaman.


48. Saya berbangga kerana Dewan Yang Mulia ini merupakan yang pertama meluluskan pindaan Perlembagaan Negeri Sabah bagi membolehkan warganegara kita yang genap 18 tahun boleh mengundi. Ini merupakan agenda reform yang berjaya dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri pimpinan Yang Berhormat Senalang dan disokong sebulat suara oleh Ahli-Ahli Dewan pada ketika itu.


49. Dewan ini perlukan reform. Kerajaan Negeri juga perlukan reform. Saya bersedia memberi sokongan kepada agenda reform yang memberi manfaat kepada rakyat di peringkat Kerajaan Negeri. Persoalannya, apakah Kerajaan Negeri bersedia memperkenalkan agenda-agenda reform dalam urustadbirnya? Atau apakah Kerajaan Negeri akan meneruskan kebergantungannya kepada Kerajaan Persekutuan?


Tuan Speaker,


50. Akhir sekali, saya merakamkan penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah di atas ucapan dasar Kerajaan pada hari kelmarin. Dasar-dasar tersebut pastinya boleh dicapai dengan cukup cemerlang jika dilaksanakan dengan political will dan kepimpinan yang kuat, apatah lagi kalau tadbir urusnya direform dan dijayakan melalui jalinan kerjasama rentas parti, disokong pula oleh seluruh rakyat Sabah. Tiada yang mustahil apabila bekerjasama. Batang lidi yang lembik itu kalau digabung banyak batangnya juga boleh menjadi sekeras kayu belian.


51. Dengan demikian, saya mendoakan kesejahteraan Tuan Yang Terutama, semua Anggota Dewan Yang Mulia ini, petugas-petugas barisan hadapan dan seterusnya rakyat Sabah kita yang dikasihi. Saya mohon menyokong. Terima kasih.


Datuk Ewon Benedick

ADUN Kadamaian

Comments


bottom of page