UCSF, MASTRA jalin kerjasama strategik majukan industri Maritim Sabah

15 Ogos 2024
KOTA KINABALU: Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) bersama Persatuan Strategik Maritim Malaysia (MASTRA) telah memeterai kerjasama strategik yang bertujuan memperkukuh pembangunan sektor maritim di Sabah melalui kajian dan penyelidikan bersama.
Pengerusi Lembaga Pengarah dan Lembaga Pengelola UCSF, Datuk Dr. Mohd Yaakub Johari berkata, kerjasama ini, yang dijalankan melalui Pusat Pengajian Pembangunan Sabah (CDS), menumpukan kepada usaha memajukan industri maritim di negeri ini.
“UCSF bekerjasama dengan pihak yang memang mempunyai kepakaran dalam industri maritim dari segi keselamatan. Daripada input-input kerjasama ini, kita cuba bantu menyumbang kepada pembangunan kerajaan negeri melalui sektor Ekonomi Biru dalam agenda Sabah Maju Jaya,” katanya.
Beliau turut menyatakan keperluan untuk mewujudkan lebih banyak kepakaran dan kemahiran dalam industri maritim di Sabah, memandangkan tiada Institusi Pengajian Tinggi yang menawarkan kursus khusus dalam bidang ini pada masa ini.
“Ini perlu bukan sahaja dari segi industri tetapi juga dalam aspek keselamatan yang juga perlu kita faham dari segi perundangan,” tambah beliau selepas kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, pada Rabu.
Hasil dapatan dan pemerhatian kajian ini akan disalurkan kepada kerajaan negeri dan persekutuan untuk pertimbangan selanjutnya.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Pengerusi MASTRA, Laksamana Pertama Datuk Dr. Ir Murad Omar, Bendahari MASTRA, Laksamana Pertama Datuk Ir Wan Othman Wan Abdul Rahman, Naib Canselor UCSF, Dr. Rafiq Idris dan Pengarah Eksekutif MYJ Tau System Sdn Bhd.
Comments