Ugut Bapa Guna Parang
- nabalunews
- Jul 6
- 1 min read

6 Julai 2025
TAWAU: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai mengugut bapa kandungnya menggunakan sebilah parang panjang dalam kejadian di sebuah rumah tidak bernombor di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek ditangkap susulan laporan polis dibuat abang kandung lelaki itu yang bimbang dengan keselamatan mereka sekeluarga.
“Dalam laporan berkenaan, suspek dikatakan mengamuk dan mengancam bapa kandung mereka dengan menggunakan parang panjang berukuran 65.8 sentimeter.
“Pengadu cuba meleraikan keadaan, namun suspek yang kembali tenang bertindak merosakkan harta benda di rumahnya,”katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Suspek ditahan sepasukan polis dari Balai Polis Sri Indah (BSI) dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah) yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Jasmin berkata, polis turut menahan seorang lelaki, 31, bagi membantu siasatan kes curi 10 botol minyak wangi bernilai RM328 dari sebuah premis kedai.
Katanya, suspek ditangkap di kawasan Jalan Apas dan kini disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Comentarios