top of page
  • Wartawan Nabalu News

UKKM antara universiti khas keusahawanan dan koperasi terawal di Asean

Ewon bergambar bersama warga IKMa.

11 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) yang dikendalikan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) adalah antara universiti khas keusahawanan dan koperasi yang terawal di Asean, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.


Beliau berkata, penubuhan universiti itu pastinya akan menarik minat para pelajar di rantau Asia terutama dari negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Singapura, Brunei dan Filipina untuk mendapatkan pendidikan di universiti itu.


Katanya, IKMa juga telah mengambil tindakan proaktif mewujudkan jalinan kerjasama strategik dengan universiti pengurusan koperasi di Indonesia iaitu Universiti IKOPIN pada 15 Februari 2023.


“Antara skop jalinan stategik yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak ialah pertukaran kepakaran dalam pembangunan dan pendidikan koperasi, program mobiliti pelajar iaitu pertukaran pelajar dalam bidang koperasi antara IKMa, UKKM dan IKOPIN serta melakanakan kerjasama dalam latihan dan penyelidikan bidang koperasi.

Ewon menyampaikan sumbangan kepada anak-anak IKMa yang layak.

“Signifikannya, UKKM menyasarkan IKOPIN menghantar pelajar ke UKKM menjelang 2024 setelah semua fasiliti atau infrastruktur universiti ini lengkap sepenuhnya.


“Terkini saya difahamkan, IKMa turut melaksanakan inisiatif awal mengadakan kerjasama dengan Universiti Riau Indonesia. Kedua-dua pihak telah pun menandatangani surat niat dan akan memeterai perjanjian pada September atau Oktober 2023,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bicara Ilmu Ramadan Melabur Tanpa Waswas dan Majlis Berbuka Puasa anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Auditorium Dato Abdul Majid IKMAa, di sini, hari ini.


Pada majlis itu, Ewon turut menyampaikan sumbangan khidmat masyarakat ‘IKMa Prihatin’ kepada 30 anak-anak Rumah Sentuhan Budi Petaling Jaya serta anak-anak IKMa yang layak.

Ewon ketika berucap pada majlis itu.

Ewon berkata, UKKM mendapat kelulusan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan akan menawarkan lima program pengajian peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana.


“Program-program pengajian itu ialah Diploma Keusahawanan Koperasi, Diploma Pengurusan Koperasi, Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Koperasi) (Kepujian), Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Keusahawanan Koperasi) (Kepujian) dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Koperasi).


“UKKM akan memulakan operasinya dengan menjalankan program ijazah sarjana (Masters) Julai ini diikuti oleh program diploma dan ijazah sarjana muda (Degree) pada September,” katanya.


Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan gerakan koperasi terlibat dalam pembangunan UKKM melalui pemegangan saham UKKM bagi memastikan program-program yang dilaksanakan memenuhi hasrat dan keperluan semasa pasaran tenaga kerja seterusnya menghasilkan piawaian pendidikan bercirikan keusahawanan koperasi di Malaysia.


“Saya juga ingin menyeru semua koperasi terutamanya koperasi-koperasi besar dan premier untuk memberi sokongan kepada UKKM, dengan menghantar kakitangan mereka menyambung pengajian di UKKM dan membiayai pengajian kakitangan tersebut.

“Memandangkan universiti ini berkonsepkan universiti butik (yang mana ia membawa “niche” koperasi), saya pasti pengambilan pelajar agak terhad (eksklusif). Oleh itu, suka saya menyarankan untuk memberi keutamaan kepada anak-anak anggota koperasi, kakitangan dan anggota koperasi itu sendiri,” katanya.


Ewon berkata, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), IKMa dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) adalah tiga agensi yang terlibat secara langsung dengan sektor koperasi Malaysia.


“Agensi-agensi ini diharap dapat memainkan peranan membantu UKKM bukan sahaja dari sudut fizikal tetapi sebagai badan semak dan imbang untuk memastikan kualiti silibus pembelajaran mengikuti peredaran semasa sektor koperasi di negara ini.

“Ia juga akan memastikan graduan university itu mampu meningkatkan kemampanan sektor keusahawanan koperasi seterusnya membantu merealisasikan dasar KUSKOP memperkasa aspirasi keusahawanan,” katanya.


Beliau berkata, sebagai Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi beliau berharap UKKM dapat melahirkan barisan pelapis pemimpin koperasi yang kompeten serta menghasilkan tenaga mahir dan profesional dalam bidang pengurusan perniagaan mengikut bidang tujahan koperasi.


Pada hari ini kita boleh berbangga kerana Malaysia kini mempunyai universiti khas berkebitaraan Keusahawanan dan Koperasi bukan sahaja di peringkat negara malah universiti koperasi antara yang terawal di peringkat Asean,” katanya.

Comments


bottom of page