- Wartawan Nabalu News
UMNO TARIK BALIK SOKONGAN KE ATAS MUHYIDDIN, DESAK LETAK JAWATAN

8 Julai 2021 Oleh Wartawan Nabalu News KUALA LUMPUR: UMNO menarik balik sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin berkuat kuasa serta merta dan menuntut supaya Muhyiddin meletak jawatan. Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi. Beliau berkata, keputusan itu dipersetujui bersama dalam MKT selepas UMNO mendapati Muhyiddin gagal memenuhi aspirasi rakyat dalam beberapa perkara utama. “Mesyuarat telah memperhalusi dan menimbangkan beberapa garis panduan utama yang ditetapkan oleh MKT pada 11 Mac 2020 ketika UMNO memberikan sokongan kepada Muhyiddin selaku Perdana Menteri. “Dua perkara utama itu ialah kerajaan harus memastikan aspirasi rakyat benar-benar direalisasikan dan segera menangani kelembapan ekonomi serta melakarkan pelan tindakan berkesan menangani pandemik Covid-19. “Bagaimanapun setelah diperhalusi segala panduan utama itu gagal dipenuhi dan dilaksanakan. Ternyata kerajaan gagal dalam memenuhi aspirasi rakyat dalam beberapa perkara utama,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam. Ahmad Zahid berkata, tujuh perkara itu ialah gagal menangani pandemik Covid-19, menyalahgunakan darurat, gagal mempertahankan sistem demokrasi berparlimen, gagal mengurus bantuan rakyat, gagal memberi kepercayaan dan keyakinan kepada rakyat dalam mengurus kebajikan sehingga peningkatan serius permasalahan sosial seperti bunuh diri, gagal mengurus kestabilan politik dan ekonomi. “Berpandukan tujuh perkara itu, ternyata kerajaan pimpinan Muhyiddin gagal memenuhi garis panduan yang dikemukakan oleh MKT pada 11 Mac 2020 sebagai syarat meneruskan sokongan. “Memenuhi mandat sebulat suara para perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO 2020 dan berpandukan kepada tujuh kegagalan memenuhi aspirasi rakyat, maka tempoh memberikan sokongan kepada Muhyiddin selaku Perdana Menteri ditarik balik dan ditamatkan serta merta,” katanya. Justeru itu, katanya, UMNO mendesak Muhyiddin berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad. “Tempoh Perdana Menteri yang baharu akan hanya memfokuskan usaha membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik, menangani Covid-19 dengan pendekatan inklusif dan memastikan proses vaksinasi dan imunisasi dapat disegerakan. “Setelah berjaya mencapai tahap imunisasi kelompok, Perdana Menteri baharu mestilah segera menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15. “Ini penting bagi membolehkan sebuah kerajaan yang benar-benar stabil dan memperoleh mandat majoriti rakyat,” katanya. Ahmad Zahid berkata, mesyuarat MKT semalam juga menegaskan pendirian seperti yang diputuskan di Perhimpunan Agung UMNO 2020, untuk tidak sesekali menyokong sebarang usaha mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri atau kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-PH.