- nabalunews
UMS komited perkasa kualiti penyampaian universiti
27 Ogos 2024
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) komited memperkasakan kualiti penyampaiannya kepada semua pemegang taruh melalui penambahbaikan berterusan tatakelola perkhidmatan dan peraturan sedia ada.
Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata usaha itu sesuai dengan Key Result Area (KRA6): Empowerment of Governance, Human Resources and Delivery System seperti yang digariskan dalam Pelan Strategik UMS 2023-2027.
“UMS adalah sebuah organisasi yang memberikan pelbagai perkhidmatan kepada pihak berkepentingan termasuk pelajar, kakitangan dan orang awam.
“Kualiti perkhidmatan yang kita berikan mencerminkan komitmen, imej dan kecekapan kita terhadap kecemerlangan dan reputasi UMS secara keseluruhan.
“Untuk mencapai tahap kecemerlangan dalam penyampaian perkhidmatan, kita perlu memberi tumpuan kepada beberapa aspek penting seperti pembudayaan kualiti, program latihan yang komprehensif, kecekapan teknologi dan pengurusan sumber yang cekap,” katanya seperti dilaporkan Info X.
Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Universiti (AKU) 2024 di Pusat Islam UMS, di sini, hari ini.
Katanya, penambahbaikan kualiti penyampaian bukan satu usaha jangka pendek, sebaliknya satu komitmen berterusan yang memerlukan kerjasama dan komitmen setiap warga UMS.
“UMS juga menarik perhatian kepada penguasaan Kemahiran Abad ke-21 yang juga salah satu teras dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) dan UMS juga sudah memiliki Dasar Digital sendiri.
“Saya berharap agar dasar ini berjaya membina ekosistem digital yang holistik dan inklusif, termasuk memastikan seluruh warga UMS, dari pelajar hingga staf, dilengkapi dengan kemahiran digital yang relevan dan dapat memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja.
“Transformasi digital bukan lagi sekadar pilihan tetapi satu keperluan tanpa mengira bidang untuk meningkatkan produktiviti, efisiensi dan keberkesanan,” katanya.
Dalam pada itu, Kasim berkata Majlis AKU adalah manifestasi penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan dan dedikasi warga UMS yang mencurah khidmat bakti demi kecemerlangan universiti.
Kecemerlangan itu katanya dicapai melalui usaha secara individu dan kolektif dalam pelbagai bidang, sama ada pengajaran, penyelidikan, penerbitan, inovasi, khidmat masyarakat mahupun pentadbiran.
Pada majlis itu, Kasim menyempurnakan penyampaian anugerah kepada 454 orang kakitangan dan pesara yang menerima anugerah dalam enam kategori.
Jumlah itu meliputi 35 orang pesara UMS yang menerima Anugerah Jasamu Dikenang, selain 166 kakitangan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, 47 penerima Anugerah Sanjungan Budi, 71 penerima Anugerah Jasa Setia, 69 penerima Anugerah Jasa Bakti dan 66 penerima Anugerah Inovasi yang terdiri daripada staf dan Pusat Tanggungjawab.
Hadir sama pada majlis itu ialah Ahli Lembaga Pengarah UMS, Datuk Aliasgar Basri, Norali @ Ag Norali Ag Damit dan Prof Dr Baba Musta; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Ir Dr Rosalam Sarbatly; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Raman Noordin dan Pendaftar UMS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Majlis AKU, Luqman Ridha Anwar.
Comments