top of page
nabalunews

UMS NAIB JUARA TAD 2020


22 DIS 2020


KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) A naib johan dalam pertandingan North Borneo International Intervarsity Open: The Alcohol Debate (TAD) 2020 yang berlangsung pada 12 dan 13 Disember lalu secara maya.


Pasukan yang diwakili oleh ahli Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) terlebih dahulu unggul di persada liga dengan menewaskan pasukan-pasukan debat di peringkat kumpulan.


Pada peringkat separuh akhir, UMS A yang dianggotai Nurul Firzanah Mohd Darwis, Kuhaneshvaren Elanggovan dan Jivanarajahn Rajendra Kumar terus melontarkan idea dan hujah-hujah bernas sekali gus menyingkirkan pasukan debat dari Universitas Gadja Madah (UGM), Indonesia.


Bagaimanapun, UMS A terpaksa akur dengan pengalaman daripada pasukan debat Universiti Putra Malaysia (UPM) B apabila tewas tipis dalam pertandingan akhir.


Pertandingan yang diadakan melalui aplikasi Zoom itu dianjurkan buat julung kalinya oleh Persatuan Pelajar Perubatan Asia Universiti Malaysia Sabah (AMSA UMS), dengan kerjasama Persatuan Pencegahan Penyalahgunaan Alkohol (APAM).


Pertandingan turut disertai 10 pasukan merangkumi peserta dari UPM, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Persatuan Pendebat Pulau Pinang (The FACTS), University of Cyberjaya serta pasukan dari Indonesia iaitu pendebat dari UGM dan University of Nahdlatul Surabaya.


Penganjuran TAD 2020 antara lain bertujuan membawa kesedaran terhadap isu penggunaan alkohol, penyalahgunaan, pemasaran, dan perundangan sebagai topik utama perdebatan.


Sementara itu, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Jaringan Masyarakat FPSK UMS, Prof Dr Azizan Omar memaklumkan penganjuran pertandingan tersebut sangat tepat pada masanya.


“Ia membuka ruang perbincangan dan perkongsian matang berdasarkan hujah dan sudut pandang bersifat intelektual sebagai medan perbincangan yang sihat mengenai alkohol,” katanya.


Bagi Dekan FPSK, Prof Dr Mohammad Saffree Jeffree, beliau melahirkan rasa gembira atas pencapaian yang ditunjukkan para pendebat fakultinya.


“Saya sangat berbangga dengan pasukan ini, kerana mereka telah memberikan kejayaan besar kepada UMS.


“Pencapaian dalam debat ini menunjukkan bahawa doktor perubatan kami bukan hanya mampu menyembuhkan, tetapi juga berupaya untuk menganjurkan sesuatu program, sentiasa berkeyakinan, dan mempunyai daya kepimpinan yang tinggi,” jelasnya


Untuk rekod, Pasukan debat FPSK UMS dilatih oleh Dr Nicholas Pang Tze Ping, seorang psikiatri yang juga Timbalan Pengarah (Klinikal) Hospital UMS.

Comments


bottom of page