top of page

UMS Perkasa Tadbir Urus Melalui Jalinan Strategik Bersama Persatuan Kakitangan

  • nabalunews
  • Jul 13, 2025
  • 2 min read

13 Julai 2025


KOTA KINABALU: Dalam usaha memperkukuhkan budaya integriti dan tadbir urus cemerlang dalam institusi pengajian tinggi, Universiti Malaysia Sabah menerusi Bahagian Integriti UMS (BIUMS) mengadakan pertemuan bersama wakil dari persatuan-persatuan kakitangan di UMS.

Pertemuan itu berlangsung dalam Majlis Bersama BIUMS dan Persatuan-Persatuan Kakitangan Akademik, Pegawai Profesional serta Kakitangan Sokongan di Bangunan Canselori.

Majlis berkenaan menghimpunkan BIUMS bersama barisan kepimpinan utama persatuan kakitangan UMS, antaranya Presiden Persatuan Staf Akademik dan Iktisas (PSAUMS), Prof. Madya Dr. Mohd. Nor Azan Abdullah; Setiausaha Persatuan Himpunan Ilmuan UMS (HiUMS), Salmie Jemon @ Suhaina; Presiden Persatuan Pegawai Profesional UMS (PPUMS), Molly Donna Awang Sham; dan Pengerusi Kesatuan Kakitangan Am UMS (KEKAUMAS), Ts. Dakir Manap.

Pengarah BIUMS, Darwis Awang dalam satu kenyataan berkata, program itu adalah satu langkah penting dalam menjalin kerjasama strategik antara BIUMS dan semua persatuan kakitangan di UMS.

“Ini bagi memastikan pelaksanaan nilai integriti menjadi amalan kolektif, bukan sekadar tanggungjawab satu pihak.

“UMS akan terus komited untuk menjadi contoh universiti awam yang mengutamakan ketelusan, akauntabiliti, dan nilai murni dalam pengurusan, selaras dengan matlamat menjadikan institusi ini peneraju integriti di peringkat nasional,” katanya.

Komitmen BIUMS itu turut mendapat sokongan dari wakil persatuan kakitangan UMS.


Molly Donna menegaskan, kepentingan BIUMS untuk terus berkolaborasi secara proaktif dengan semua lapisan staf melalui saluran yang telus dan inklusif.

Sementara itu, Dakir pula menekankan bahawa peranan kesatuan kakitangan bukan sahaja melindungi hak ahli, tetapi juga bertanggungjawab mendidik tentang kepatuhan dan integriti organisasi.

Sementara itu, Darwis memaklumkan penubuhan rasmi BIUMS sebagai sebuah badan bebas dalaman pada 28 April lalu adalah hasil keputusan Lembaga Pengarah Universiti (LPU).


Katanya, ia menyokong aspirasi pemantapan fungsi integriti di Universiti Awam, selaras dengan arahan Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Bahagian ini bukan sekadar pemantau, tetapi rakan strategik kepada seluruh warga universiti untuk membudayakan nilai-nilai integriti, etika kerja profesional dan tadbir urus yang berwibawa.

“BIUMS beroperasi secara bebas dari sebarang pengaruh pentadbiran dan terus melapor kepada LPU bagi memastikan ketelusan dalam pelaksanaan fungsinya yang merangkumi lima bidang utama, iaitu integriti, pengurusan aduan, pengesanan dan pengesahan, pematuhan, serta tadbir urus,” ujar beliau.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page