• Wartawan Nabalu News

UMS SUMBANG 500 PELINDUNG MUKA UNTUK CALON SPM, STPM SMK PUTATAN


Noor Azimah (dua dari kanan) menyerahkan pelindung muka UMS Covi-Pro kepada wakil dari SMK Putatan.

22 Feb 2021


KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyampaikan sumbangan sebanyak 500 pelindung muka UMS Covi-Pro kepada pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan.


Pengarah Pusat Instrumentasi dan Perkhidmatan Sains (PIPS), Prof. Madya Dr. Zaleha A. Aziz berkata, sumbangan tersebut merupakan keprihatinan UMS dalam usaha untuk mengekang penularan pandemik Covid-19 termasuk di kawasan sekolah.


Prof Madya Dr Zaleha A. Aziz

“Diharap sumbangan pelindung muka ini dapat dimanfaatkan oleh warga SMK Putatan khususnya dalam memudahkan sesi pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar,” katanya.


Sementara itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Faridah Yanin menyampaikan penghargaan kepada pihak UMS atas sumbangan tersebut.


“Sumbangan ini amat bermakna kepada pihak sekolah khususnya dalam membantu menjamin keselamatan para pelajar daripada ancaman pandemik Covid-19.


“Ini turut memudahkan pihak sekolah dalam memastikan setiap langkah prosedur standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dipatuhi semasa menghadapi peperiksaan SPM yang bermula pada 23 Februari ini dan STPM yang akan bermula pada bulan Mac nanti,” katanya.


Faridah turut memaklumkan pelindung muka tersebut akan diberikan kepada 262 pelajar SPM dan 170 pelajar STPM untuk kegunaan ketika peperiksaan berlangsung.


Dalam majlis ringkas tersebut, Faridah mewakili SMK Putatan menerima sumbangan pelindung muka UMS Covi-Pro yang disampaikan oleh Pegawai Sains PIPS, Noor Azimah Pelah.


Turut menyaksikan penyerahan sumbangan tersebut ialah Penolong Kanan Pentadbiran, Dr. Mohd Afendi Arifin; Penolong Kanan Kokurikulum, Geogre Lease; dan Penolong Kanan Petang, Noriman Jamatin.


Awal bulan ini, UMS turut menyampaikan sumbangan sebanyak 250 pelindung muka kepada SMK St. Mary Limbahau, Papar.


Pelindung muka UMS Covi-Pro dihasilkan oleh pasukan sukarelawan Fakulti Kejuruteraan yang diketuai oleh Dr. Choong Wai Heng untuk kegunaan kakitangan dan anggota barisan hadapan UMS serta turut disumbangkan kepada petugas barisan hadapan di pelbagai agensi antaranya Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Hospital Likas, Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan MASwings Sdn. Bhd.

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com