Marryan Razan
UMS terima 4,469 pelajar baharu termasuk 10 pelajar OKU sesi 2021/ 2022

7 Oktober 2021
Oleh Marryan Razan
KOTA KINABALU: Seramai 4,469 pelajar baharu Universiti Malaysia Sabah (UMS) termasuk 10 pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) bagi sesi pengajian 2021/ 2022.
Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, daripada jumlah itu seramai 2,692 pelajar berasal dari Sabah dan 1,695 dari Semenanjung dan Sarawak.
Beliau berkata, seramai 35 pelajar adalah pelajar antarabangsa dari Negara China, India, Brunei, Indonesia, Jepun, Korea dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Meskipun bersua muka secara maya, saya yakin semangat anda sebagai seorang pelajar UMS tetap utuh untuk mengetahui lebih banyak tentang UMS dalam sesi yang akan disediakan sepanjang Minggu Suai Mesra,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sesi Bersama Naib Canselor dan Majlis Lafaz Ikrar Pelajar Baharu Sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2021/2022 secara maya, hari ini.
Dr. Taufiq berkata, sejak Pandemik Covid-19 bermula, Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) lebih banyak dijalankan secara dalam talian, namun ia tidak menjejaskan proses pembelajaran secara keseluruhannya.

“Inilah realiti yang harus sama-sama kita pikul agar usaha menyediakan para pelajar dengan ilmu pengetahuan dan nilai kemanusiaan dapat diteruskan,” katanya.
Beliau berkata, menyedari kekangan dalam kalangan pelajar sepanjang tempoh PdP secara dalam talian, UMS memberi ruang kepada pelajar yang berkeperluan khususnya pelajar yang mengalami masalah capaian internet dan persekitaran kurang kondusif untuk masuk ke kampus bagi menjalankan PdP dengan menggunakan kemudahan dalam UMS.
“Perkara yang sama juga akan dilakukan pada semester ini, bagi memastikan tiada pelajar tercicir dalam proses pembelajaran.
“Selain itu, pihak Universiti juga cakna terhadap isu kesihatan mental pelajar. Bagi memastikan isu ini tidak berpanjangan, pelbagai medium disediakan untuk para pelajar mendapatkan perkhidmatan Kaunselor termasuklah sesi perkongsian secara dalam talian yang dijalankan setiap minggu. Sekiranya para pelajar memerlukan sebarang bantuan, jangan segan menghubungi mereka,” katanya.
Beliau berharap, para pelajar dapat memberikan sepenuh tumpuan kepada pembelajaran serta sentiasa berusaha menyediakan diri dengan ilmu dan kemahiran yang terbuka di universiti.
“Manfaatkan setiap ruang dan peluang yang disediakan untuk bekalan tambahan kelak. Semoga dengan usaha ini UMS mampu menjana graduan yang lebih berkualiti, sekali gus meningkatkan Kebolehpasaran Graduan (GE) UMS,” katanya.
Dr.Taufik berkata, kebolehpasaran Graduan atau GE, UMS meningkat dengan sangat signifikan.
“Bagi tahun 2014-2018, GE UMS hanya mencapai tidak lebih 60 peratus, tetapi mulai tahun 2019 dan 2020, GE masing-masing melonjak ke angka 90 dan 92 peratus.
“Program yang telah dilaksanakan oleh Pusat Kerjaya dan Pembangunan Usahawan Pelajar bersama pihak KPT dan industri berjaya membantu ramai pelajar mendapatkan peluang pekerjaan dan latihan di luar,” katanya.