UMS TUMPU USAHA LONJAK MODAL INSAN MALAYSIA SETARAF NEGARA MAJU
- nabalunews
- Dec 5, 2020
- 2 min read

5 DIS 2020
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) memberi tumpuan kepada usaha melonjak pembangunan modal insan untuk menjadikan rakyat negara ini setaraf dengan negara maju lain di dunia.
Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata komitmen tersebut merupakan keinginan semua pihak untuk menyumbang secara lebih aktif dalam memastikan Malaysia menjadi negara berdaya saing dalam aspek akademia di mata dunia termasuk pengukuhan budaya ilmu.
“Sesungguhnya kemudahan prasarana dan pelbagai kepakaran di UMS tidak akan menyumbang pencapaian aspirasi pemartabatan budaya ilmu tanpa usaha menyeluruh dari warga UMS dan sokongan pelbagai pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Pendidikan, Sains Sosial dan Teknologi (ICEST 2020) yang diadakan dua hari di sini secara maya bermula Khamis.
Taufiq menegaskan usaha memastikan pencapaian aspirasi pengukuhan budaya ilmu adalah selaras dengan objektif utama persidangan ICEST 2020 bagi mewujudkan platform perkongsian ilmu pengetahuan dan kemahiran berkaitan bidang pendidikan, sains sosial dan teknologi di kalangan peserta.
Beliau yakin, masyarakat yang komited dalam aktiviti perkongsian ilmu melalui penganjuran persidangan akan turut menyumbang kepada prestasi dan peningkatan produktiviti untuk diri dan negara khususnya negeri Sabah.
Tampil bersama dalam majlis perasmian ialah Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Dr. Mistirine Radin, Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) UMS Prof Madya Dr Lai Yew Meng, Pengerusi Persidangan Prof Madya Dr Mohd Sohaimi Esa dan Presiden Association of Malaysian Researchers and Social Services (AMRASS) Dr Mohd Nor Jaafar.
Persidangan tersebut dianjurkan bersama PPIB UMS, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, AMRASS, Majlis Guru Pendidikan Khas Sabah dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya.
Dalam ucaptamanya, Prof Dr Mohammad Shatar menyatakan kaedah pengajian secara maya dewasa ini telah menjadi amalan global, namun dalam konteks Malaysia, usaha memperluas liputan jalur lebar masih menjadi keutamaan untuk memastikan semua pelajar memperoleh akses di manapun mereka berada.
Dr Mistrine dalam ucaptamanya turut melihat penggunaan kaedah maya dalam pembelajaran mahupun pengumpulan maklumat kajian semakin mempermudah kalangan pengkaji untuk menjangkau informan atau respondan dalam melengkapkan kajian.
Persidangan tersebut disertai lebih 200 peserta dengan pembentangan lebih 150 kertas kajian pelbagai pengkaji dari dalam dan luar negara.
Caption
ICEST
PERASMIAN: Taufiq (tengah) bersama jawatankuasa penganjur ICEST di Galeri Canselori UMS.
Comments