top of page

UMS, UiTM Sabah Diarah Kenal Pasti Segera Pelajar Kurang Berkemampuan

nabalunews

29 September 2024


KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan Tinggi komited memastikan kebajikan pelajar sentiasa terjaga sepanjang tempoh pengajian dan sedia membantu kerana prinsip ‘tiada pelajar yang harus terpinggir’.


Sehubungan itu Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud meminta Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah untuk mengenal pasti pelajar kurang berkemampuan di institusi pendidikan tersebut untuk diberikan bantuan sewajarnya.


Kementerian Pendidikan Tinggi komited memastikan kebajikan pelajar sentiasa terjaga sepanjang tempoh pengajian dan sedia membantu kerana prinsip ‘tiada pelajar yang harus terpinggir’.


“Saya telah menerima banyak mesej mengenai cabaran yang dihadapi oleh sebahagian daripada pelajar baharu atau yang sedang berdaftar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara dan saya mengambil maklum perkara ini.


"Salah satu kes yang benar-benar menyentuh hati saya ialah kisah adik Rafida Zaiddin dari Sandakan yang mendaftar di UMS Kota Kinabalu dengan membawa karung guni sebagai bagasi.


“Hal ini menunjukkan kecekalan dan kuatnya semangat adik Rafida untuk menyambung pengajian walaupun dalam keadaan serba kekurangan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Mustapha turut mengingatkan pelajar yang bakal mendaftar di IPTA atau institut pengajian tinggi swasta (IPTS) agar tidak segan atau ragu untuk menghubungi Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) di universiti masing-masing jika memerlukan sebarang bantuan.


"Pelbagai bantuan telah disediakan kementerian mengikut keperluan pelajar. Apa yang perlu dilakukan hanyalah mengenal pasti dan memohon, pasti ada penyelesaiannya.


"Teruskan semangat menuntut ilmu kerana setiap usaha dan pergorbanan itu akan membuahkan hasil ," katanya.

Comments


bottom of page