top of page
Wartawan Nabalu News

Undang-undang baharu akan diperkenalkan tangani kesalahan seksual terhadap kanak-kanak dalam talian


24 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR : Dua kesalahan seksual dalam talian yang melibatkan kanak-kanak akan dimasukkan dalam undang-undang.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kesalahan tersebut ialah penstriman seks secara langsung dan penderaan seks dalam talian.


Beliau berkata, undang-undang itu akan dibawa ke Parlimen pada 29 Mac ini.


Katanya, undang-undang itu akan menjadi sebahagian daripada Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.


“Kes penderaan seksual dalam talian yang melibatkan kanak-kanak semakin meningkat. Kami juga mencadangkan untuk menukar istilah pornografi kanak-kanak kepada penderaan seksual kanak-kanak kerana istilah lama sudah tidak sesuai,” katanya dalam satu sidang akhbar.


Menurutnya, bagi kesalahan penstriman seks secara langsung, ia merangkumi mereka yang terlibat secara langsung, menganjurkan, mempromosi, mengarahkan penyalahgunaan, menerima wang dan lain-lain perkara yang berkaitan.


Tambahnya, bagi kesalahan itu, pesalah boleh dihukum penjara 20 tahun atau denda sebanyak RM50,000.


“Bagi penderaan seks dalam talian pula iaitu penggunaan imej seksual kanak-kanak untuk memeras ugut supaya kanak-kanak menghantar lebih banyak gambar atau video, meminta wang atau melakukan hubungan seks boleh dihukum penjara 10 tahun,” katanya.


Beliau juga berkata, satu kerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan dilaksanakan.


“Ia bagi memberi mandat kepada penyedia perkhidmatan internet untuk mengesan, menyekat akses dan melaporkan kesalahan kepada pihak berkuasa.


Comentários


bottom of page