UNDI 18 HANYA BOLEH DILAKSANA SELEPAS SEPT 2022 - SPR
- Wartawan Nabalu News
- Mar 25, 2021
- 2 min read

25 Mac 2021
Oleh Marryan Razan
KOTA KINABALU: Pendaftaran Pemilih Automatik dan Undi18 dijangka boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia Datuk Abdul Ghani Salleh.
Beliau berkata, keputusan itu diambil selepas menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Berdasarkan rekod terkini SPR, jumlah warganegara berumur 18 tahun dan ke atas adalah seramai 5.6 juta orang.
“Daripada jumlah tersebut, mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun hanya seramai 1.2 juta orang.
“Manakala 4.4 juta orang adalah mereka yang berusia 21 tahun dan ke atas, yang mana telah pun layak tetapi masih belum berdaftar sebagai pemilih,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Abdul Ghani berkata, SPR juga sedang menyediakan satu laporan interim berhubung Pendaftaran Pemilih Automatik dan Undi18.
“Laporan ini dijangka akan dikeluarkan pada bulan September 2021,” katanya.
Katanya lagi, SPR komited dengan pelaksanaan Pendaftaran Pemilih Automatik dan Undi18 seperti yang telah diluluskan di Parlimen untuk direalisasikan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 pada tahun 2023 berpandukan kepada Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan.
“SPR ingin menjelaskan bahawa persiapan ke arah pelaksanaan tersebut masih berjalan dan dalam tindakan sewajarnya.
“Ini termasuklah gerak kerja seperti pembangunan sistem, semakan dan penyelarasan data, program libat urus susulan bersama agensi Kerajaan, parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) serta persiapan-persiapan lain yang berkaitan dengannya.
“Bagaimanapun, SPR bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19. Ini secara langsung menjejaskan perancangan dan persiapan SPR,” katanya.
Bagi rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun dan ke atas, beliau menyeru agar mereka segera mendaftar sebagai pemilih secara dalam talian melalui mysprdaftar.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri atau Pejabat Pos berdekatan.
Abdul Ghani berkata, SPR akan melancarkan sistem semakan pra-pendaftaran automatik melalui Portal SPR pada Ogos ini, bagi membolehkan 5.6 juta bakal pemilih menyemak dan mengesahkan maklumat mereka.















Comments