top of page
nabalunews

Unduk Tindal Tanganak tutup tirai Tamu Besar Kota Belud 2024


4 November 2024


KOTA BELUD: Kemeriahan Tamu Besar Kota Belud 2024 berakhir dengan penuh warna-warni pada petang 3 November lalu dan acara Unduk Tindal Tanganak yang menjadi penutup acara, berlangsung dengan meriah di pentas utama Padang Pekan Kota Belud, menarik perhatian pengunjung yang hadir.


Acara ini dianjurkan oleh Persatuan Pelancongan Komuniti Tempasuk dengan matlamat untuk memupuk minat generasi muda terhadap warisan budaya Etnik Dusun Tindal agar orang ramai berpeluang menghayati dan mengapresiasi keindahan budaya tradisional yang diwarisi turun-temurun.


Dengan acara penutup ini, Tamu Besar Kota Belud 2024 bukan sahaja berjaya mempromosikan warisan budaya tempatan, tetapi juga mengukuhkan jalinan perpaduan dalam kalangan komuniti serta memupuk rasa cinta generasi muda terhadap kebudayaan mereka.


Sembilan peserta kanak-kanak berusia 7 hingga 11 tahun telah mengambil bahagian dalam acara Unduk Tindal Tanganak.


Pengerusi Penganjur serta Perasmi Program, Datin Vinnie Nursyahirah Abdullah berkata program ini bertujuan untuk mengangkat martabat budaya Dusun Tindal di Kota Belud.


Menurut beliau, penganjuran ini juga merupakan platform untuk generasi muda, khususnya kanak-kanak Dusun Tindal, agar mereka lebih mengenali dan menghargai kekayaan budaya nenek moyang mereka.


Vinnie Nursyahirah yang juga Pengerusi Persatuan Kebajikan Amal Kasih Kota Belud turut merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini.


"Terima kasih khusus ditujukan kepada tetamu kehormat, para juri, pasukan persembahan, serta dua penyanyi berbakat yang telah memberikan komitmen penuh bagi memastikan kejayaan acara ini," katanya.


Dalam pertandingan tersebut, adik Aesya Mashieya dinobatkan sebagai Johan, manakala adik Addora Dalson meraih gelaran Naib Johan. Tempat Ketiga disandang oleh adik Amber Angely Chin.


Selain itu, anugerah khas Unduk Kaanangan diberikan kepada adik Hana Mikayla, sementara gelaran Unduk Tosuau dimenangi oleh adik Addora Dalson.


Turut hadir sebagai tetamu kehormat ialah Anichlose Kesimin, Pemaju Mukim Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Comentários


bottom of page