- Wartawan Nabalu News
UPKO anjur Taklimat Khas NCA, 21 Feb ini
15 Feb 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Taklimat Khas berkaitan Perjanjian Pemuliharaan Alam Semulajadi (NCA) akan diadakan di Pacos Training Centre, Kg.Lomunu Penampang, pada 21 Februari ini.
Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, program itu bertujuan memberi penjelasan mengenai NCA kepada para pemimpin parti itu bagi membolehkan mereka menerangakan isu itu kepada masyarakat akar umbi.
"Bersesuaian dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) penganjuran majlis, penyertaan untuk taklimat ini dihadkan kepada 50 orang terawal yang mendaftar.
"Pihak urusetia akan menyediakan Antigen Rapid Test Covid-19 bagi semua peserta yang hadir bagi memastikan majlis ini bebas Covid," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, taklimat khas NCA akan dikendalikan oleh mantan Ahli Dewan Negara Adrian Lasimbang.
Program itu akan dirasmikan Presiden Upko Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.
Perjanjian NCA antara kerajaan negeri dan sebuah syarikat berpangkalan di Singapura menjadi kontroversi kerana ia ditandatangani secara senyap.
Kerajaan tidak mengumumkan pemeteraian perjanjian itu dan hanya diketahui umum pada awal November 2021 iaitu selepas 10 hari perjanjian dimeterai menerusi laporan Mogabay, sebuah portal antarabangsa perpusat di Amerika Syarikat yang memantau isu perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar dunia.
NCA ialah perjanjian melibatkan perdagangan kredit karbon yang merupakan sistem berasaskan pasaran untuk mengurangkan kesan gas rumah hijau, terutamanya karbon dioksida, yang menyumbang kepada pemanasan global dengan memberikan insentif dari segi kewangan.
Ia ditandatangani pada 30 Okt tahun lepas melibatkan pemberian 30 peratus daripada hasil jualan kredit karbon Sabah kepada firma Singapura Hoch Standard Private Limited manakala kerajaan Sabah memperoleh 70 peratus daripadanya.
Comments