top of page

UPKO Bingkor Mantapkan Jentera Pilihan Raya Hadapi PRN Ke-17

  • nabalunews
  • 3 days ago
  • 2 min read


16 April 2025


KENINGAU: Usaha memperkukuhkan persiapan menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) semakin giat dijalankan apabila Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Keningau mengadakan mesyuarat penting pada 12 April 2025. Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Pengarah Jentera Pilihanraya, Alexius Paulus, bertujuan untuk mengemaskini dan memantapkan struktur jentera pilihan raya di peringkat akar umbi.


Mesyuarat yang berlangsung di Bingkor ini merupakan sebahagian daripada strategi UPKO dalam memastikan kesiapsiagaan yang optimum menjelang PRN yang dijangka sengit.


Fokus utama mesyuarat ini adalah untuk memperkukuhkan kerjasama antara ketua-ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan mengatur pergerakan jentera supaya lebih terancang dan tersusun.


Menurut Alexius, kekuatan jentera pilihan raya merupakan asas kejayaan menghadapi pilihan raya, terutamanya di kawasan Bingkor. Beliau menegaskan bahawa setiap ketua PDM harus memainkan peranan aktif dalam menggerakkan ahli di kawasan masing-masing agar dapat memastikan segala perancangan berjalan lancar.


“Sekiranya struktur jentera kita mantap dan kukuh, kita yakin segala proses dan pergerakan menghadapi PRN17 dapat dilaksanakan dengan lebih efisien,” katanya ketika berucap di mesyuarat berkenaan.


Turut hadir memberi sokongan dalam mesyuarat tersebut ialah Ketua Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) UPKO Bingkor, Kennedy John, Timbalan Ketua Bahagian, Japrin Tunjan, Bendahari Rajinah Anahong, Ketua Pemuda, Jeffsonzo Japrin serta barisan ketua-ketua PDM Bingkor. Kehadiran mereka memperlihatkan komitmen padu dalam memastikan UPKO berada dalam landasan terbaik menjelang pilihan raya nanti.


Dengan sokongan padu dari semua lapisan kepimpinan dan akar umbi, UPKO Bingkor optimis bahawa jentera yang tersusun mampu memberi impak besar kepada prestasi parti dalam PRN ke-17 yang akan datang. Pelaksanaan gerak kerja secara berperingkat dan sistematik menjadi pendekatan utama parti dalam memastikan kesiapsiagaan sepenuhnya sebelum hari penamaan calon diumumkan.


Langkah ini menunjukkan keseriusan UPKO Bahagian Keningau dalam memperkukuhkan kekuatan dalaman parti serta memantapkan peranan jentera pilihan raya di kawasan pedalaman Sabah. Dengan masa yang semakin suntuk, mesyuarat seperti ini dijangka akan menjadi pemangkin kepada kejayaan parti dalam menghadapi cabaran politik yang semakin kompetitif.

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page