UPKO Salungkapit Perkukuh Sokongan Menjelang PRN17
- nabalunews
- May 9
- 2 min read

9 Mei 2025
KUDAT: Satu perjumpaan rasmi melibatkan lebih 40 ahli cawangan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Salungkapit telah diadakan pada 8 Mei 2025.
Majlis itu dihadiri oleh Ketua Bahagian UPKO Kudat, Junsim Rumunzing, bagi memperkukuh kesiapsiagaan jentera parti menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-27 (PRN17).
Dalam ucapannya, Junsim menyeru penduduk Kampung Salungkapit agar bersatu padu dan memberi sokongan sepenuhnya kepada UPKO.

Beliau turut mengingatkan para hadirin, walaupun penduduk telah lama memberi kepercayaan kepada calon terdahulu, keperluan asas seperti jalan raya dan bekalan air bersih masih belum sepenuhnya ditangani.
“UPKO kini berada dalam kedudukan yang lebih kukuh kerana merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri dan persekutuan.
"Parti ini diterajui oleh Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
“Dengan kedudukan itu, UPKO mempunyai keupayaan untuk melaksanakan perubahan yang lebih bermakna kepada rakyat, khususnya di kawasan luar bandar seperti Salungkapit." ujarnya.
Junsim turut memaklumkan bahawa UPKO Bahagian Kudat telah menyalurkan bantuan awal persekolahan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Dandun pada tahun 2024 melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Yayasan Bank Rakyat.
Katanya, inisiatif itu menggambarkan komitmen parti dalam memperjuangkan kesejahteraan rakyat, khususnya dalam bidang pendidikan.
Beliau turut menzahirkan hasrat untuk terus bekerjasama dengan pelbagai agensi di bawah KUSKOP bagi membantu para usahawan tempatan serta menyediakan peluang pendidikan kepada pelajar dari semua peringkat.
Majlis ini turut disertai oleh beberapa pemimpin tempatan UPKO Salungkapit, termasuk Makawan Likabon, Jefrin Masuning, Stephen Dayaman dan Paul Sakulok. Kehadiran mereka memberi semangat kepada para ahli dan mencerminkan kerjasama erat antara kepimpinan bahagian dan cawangan.
Junsim menzahirkan penghargaan beliau atas komitmen semua yang terlibat dalam menjayakan program tersebut, dan menyatakan keyakinan bahawa UPKO akan terus mendapat sokongan padu daripada rakyat sekiranya terus komited menyantuni keperluan dan aspirasi masyarakat setempat.
Dengan pertemuan ini, UPKO Salungkapit menunjukkan kesiapsiagaan dan kesepaduan yang jelas dalam menghadapi PRN17, sambil membawa mesej perubahan yang diharapkan oleh rakyat Kudat.
Comentários