UPKO sampaikan sumbangan bakul makanan kepada mangsa banjir, teruskan misi bantu selama semingguUPKO sampaikan sumbangan bakul makanan kepada mangsa banjir, teruskan misi bantu selama seminggu
top of page
  • Wartawan Nabalu News

UPKO sampaikan sumbangan bakul makanan kepada mangsa banjir, teruskan misi bantu selama seminggu


Penyerahan sumbangan wang diterima dari penderma kepada Henry Bisius dan keluarga.

18 Sept 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) telah menyampaikan 40 bakul makanan yang berjumlah RM1,900 hasil sumbangan setakat hari ini oleh ahli-ahli majlis tertinggi UPKO, badan bukan kerajaan (NGO), rakan-rakan serta orang awam kepada mangsa-mangsa banjir di beberapa kawasan hari ini.


Timbalan Ketua Bahagian UPKO Penampang Carl Moosom berkata, selain sumbangan bakul makanan, terdapat juga sumbangan ikhlas seperti bantuan kain, makanan dan sebagainya.


Sumbangan itu disampaikan semasa tinjauan oleh Presiden Kehormat UPKO Tan Sri Bernard Giluk Dompok dan Ketua Bahagian UPKO Penampang Senator Datuk Donald Mojuntin di kawasan banjir di Kampung Sugud.


"Kita hari ini dibanjiri oleh sumbangan ikhlas rakan-rakan kita, tidak kira wang kecil ataupun jumlah yang besar, juga dengan bantuan dalam bentuk kain, makanan dan sebagainya. Kita amat terharu dengan sumbangan ini.



"Terima kasih juga bagi pihak UPKO Penampang dan Presiden Kehormat yang pada awal pagi lagi telah memohon untuk mengetahui lebih mendalam apakah rancangan UPKO untuk menangani ataupun membantu rakyat di Kg, Sugud, khususnya kepada ahli UPKO," katanya ketika dihubungi, hari ini.


"Kita juga berterima kasih kepada Presiden Parti atas inisiatif beliau memohon semua rakyat jelata untuk membantu usaha yang dilakukan oleh Katekis Jinilis Ibol* bagi memungut bantuan mewakili seluruh warga Kampung Sugud melalui pejabat ataupun Parish Lady of Assumption Catholic Church," tambahnya.

Menurut Carl, lawatan UPKO hari ini diketuai oleh Datuk Donald Mojuntin, Setiausaha Penganjur Roy Benedict, dan ahli jawatankuasa (AJK) bahagian serta ditemani beliau sendiri bersama AJK Bahagian Lenus Sampil, Ketua Pemuda Alex Ven dan AJK bahagian pemuda Billy.


"Lawatan kami pada hari ini tertumpu kepada ketua-ketua cawangan UPKO di sekitar Kg. Sugud. Kita ketahui NGO dan sukarelawan yang ada di Kota Kinabalu juga telah membanjiri kawasan Kg Sugud.


"Kita rasa sangat terharu. Maka itu kita tumpukan program kita untuk membantu ahli-ahli UPKO yang ada di Sugud pada hari ini," katanya sambil menambah bahawa mereka juga telah memberi sumbangan sebanyak RM950 kepada gereja di situ.

Menurutnya, mereka turut melawat ke Kampung Kodou yang merupakan kawasan yang paling teruk terjejas akibat hakisan dan banjir lumpur di mana sumbangan bantuan makanan telah disampaikan kepada Ketua Cawangan UPKO Kg. Kodou.


"Akhir sekali, kita telah melawat Ketua Wanita Kg. Tampasak Puan Lily Ginengil. Selepas itu kita telah berjalan kaki ke rumah Ketua Cawangan Kg. Tampasak Henry Besius yang mana kita telah dimaklumkan bahawa beliau telah kehilangan rumah akibat banjir


"UPKO Penampang akan terus membantu mangsa-mangsa banjir di sekitar Kg Sugud selama seminggu dan kita memohon kepada semua yang ada di luar sana agar menyumbang bukan sahaja melalui UPKO tetapi kepada semua NGO ataupun sukarelawan yang ada," ujarnya.

bottom of page