UPKO SARAN KERAJAAN TUBUH JAWATANKUASA KHAS PANTAU VAKSINASI COVID-19 PTI
- Wartawan Nabalu News
- Feb 23, 2021
- 2 min read

23 Feb 2021
Oleh Marryan Razan
KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyarankan agar kerajaan negeri segera menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengenalpasti, mengurus dan memantau proses vaksinasi pendatang tanpa izin (PTI) di negeri ini.
Sambil menyambut baik keputusan kerajaan untuk memberikan vaksin Covid-19 kepada seluruh rakyat Sabah secara percuma termasuk PTI yang tidak mempunyai dokumen, Timbalan Setiausaha Agung UPKO Dr. Peter Jr. Naintin berkata, jawatankuasa khas itu penting untuk membantu kerajaan mengumpul data mengenai PTI yang tidak mempunyai dokumen di negeri ini.
"Vaksin Covid-19 untuk semua itu bertujuan baik atas dasar kemanusiaan dan kebaikan bersama serta selari dengan tema Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan iaitu ‘Lindungi Diri, Lindungi Semua’ dan pendekatan ‘tiada yang selamat, sehingga semua adalah selamat," katanya kepada Nabalu News, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun bahawa, semua penduduk Sabah termasuk rakyat asing dan PTI yang tidak mempunyai dokumen yang sah akan menerima vaksin Covid-19 secara percuma.
Dr.Peter yang juga Ketua Bahagian UPKO Libaran turut mencadangkan agar PTI yang didapati tidak mempunyai sebarang dokumen sah atau memiliki dokumen yang meragukan selepas program itu dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada.
"Berdasarkan data penduduk Sabah pada tahun 2020 daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, lebih satu juta penduduk di negeri ini bukan Warganegara Malaysia yang mungkin sebahagian besarnya adalah PTI," katanya.
Beliau berkata, program vaksinasi Covid-19 untuk PTI secara tidak langsung membantu kerajaan mengumpul data mengenai mereka.
"Vaksinasi Covid-19 melibatkan PTI di negeri ini secara tidak langsung akan membantu merekodkan jumlah PTI secara sistematik dan menyimpan data peribadi mereka dengan nombor rujukan secara elektronik.
"Oleh itu saya juga mencadangkan agar setiap PTI yang menerima vaksin diberikan kad vaksin sebagai rujukan pada masa hadapan," katanya.
Baru-baru ini, Masidi dipetik sebagai berkata, hasrat kerajaan memberikan vaksinasi kepada semua orang yang tinggal di Sabah adalah untuk memastikan tiada individu yang akan menyebabkan jangkitan Covid-19.
Program vaksinasi Covid-19 dijangka bermula 26 Feb ini dan dilaksanakan dalam tiga fasa.
Bekalan pertama vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech dijadualkan tiba di Sabah, Khamis ini (25 Feb).
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor dijangka akan menjadi orang pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 di Sabah selain para petugas barisan hadapan.
Comments