top of page

UPKO tuntut lima perkara untuk dimasukkan dalam Bajet 2023

Wartawan Nabalu News

Madius (dua kanan) dan Zafrul (tengah). Turut hadir Felix Joseph Saang Ketua Pemuda UPKO (tepi kanan), Nelson W Angang (tepi kiri).

14 September 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mencadangkan supaya lima perkara utama termasuk tuntutan hak pulangan 40 peratus hasil bersih yang dikutip oleh Persekutuan setiap tahun daripada Sabah, dimasukkan dalam Bajet 2023.


Presidennya Datuk Seri Panglima Madius Tangau berkata, memorandum berkenaan telah diserahkan kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam sesi libat urus cadangan Bajet 2023, pada 13 September (kelmarin).


“Lima perkara itu ialah tuntutan hak pulangan 40 peratus, Pewartaan Zon Perdagangan Bebas di setiap Taman Perindustrian di Sabah, tambahan peruntukan pembiayaan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk Sabah, peruntukan kewangan pengambilan guru pelatih Bahasa  Kadazandusun di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kent, Tuaran dan peruntukkan khas menaiktaraf jalan-jalan luar bandar di Sabah,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.


Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, UPKO tetap berpegang kepada hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Artikel 112C, Seksyen 2(1) Bahagian 4, Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan, dan sama sekali tidak bersetuju dengan keputusan pemberian khas menerusi geran tahunan yang dinaikkan 4.7 kali ganda atau RM125.6 juta (2022) berbanding RM26.7 juta sejak tahun 1973 kerana keputusan itu dilakukan tanpa mengambil kira hak 40 peratus.

 

“Oleh itu, UPKO menuntut agar bayaran pulangan cukai adalah mengikut Perjanjian Malaysia 1963 yang telah dimeterai dan seterusnya termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu 40 peratus daripada jumlah hasil bersih yang dikutip oleh persekutuan dari Sabah, hendaklah diberikan kepada kerajaan Sabah seperti mana yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat Sabah,” katanya.


Katanya lagi, UPKO juga mahu supaya Bajet 2023 turut memasukkan Pewartaan Zon Perdagangan Bebas di setiap Taman Perindustrian di Sabah bagi merancakkan lagi pelaburan dalam sektor pembuatan, kemasukan pelaburan asing dan dalam negeri, pertukaran teknologi serta pewujudan peluang pekerjaan selain aktiviti ekonomi Sabah perlu dimodenkan dan ditingkatkan.

 

“Pewartaan Zon Perdagangan Bebas itu merangkumi tiga Taman industri iaitu Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), Lahad Datu Palm Oil Industrial Cluster (POIC) dan Sipitang Oil & Gas Industrial Park (SOGIP),” katanya.


Madius berkata, UPKO terus memperjuangkan masalah kemiskinan yang membelenggu Sabah terutama di lapan daerah yang direkodkan sebagai antara 10 daerah termiskin di Malaysia iaitu Kudat, Pitas, Kota Belud, Kota Marudu, Beluran, Telupid, Tongod dan Nabawan.


“Dalam cadangan UPKO yang ketiga, kita meminta kerajaan menggunakan salah satu pendekatan membasmi kemiskinan yang terbukti berjaya di seluruh dunia iaitu pendekatan “Grameen Bank” yang diperkenalkan oleh Prof. Yunus di Bangladesh.


“Pendekatan sebenarnya telah dilaksanakan oleh Malaysia dalam bentuk AIM dan sudah pun beroperasi di Malaysia sejak 1987 dan Yayasan Usaha Maju (YUM) di Sabah.

 

“AIM telah terbukti berjaya mencapai bayaran balik melebihi 98 peratus dan seterusnya berjaya mengurangkan kemiskinan terutama dalam kalangan wanita untuk pembiayaan Keusahawanan kecil-kecilan dengan cara menambahkan pendapatan terutamanya golongan B40, B30, B20 dan B10 dari semua daerah termiskin di Sabah.

 

“Sehubungan itu, UPKO menuntut supaya perhatian khas diberikan kepada daerah-daerah yang telah dikenal pasti sebagai daerah termiskin dan AIM sudah pun beroperasi di tempat tersebut dengan mencadangkan supaya dana pinjaman yang ada sekarang ditambah dua kali ganda. Saya mencadangkan supaya peruntukan pembiayaan AIM untuk tahun 2023 ditambah,” katanya.


Mengenai cadangan keempat, Madius berharap peruntukan kewangan untuk pengambilan guru pelatih Bahasa Kadazandusun di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kent, Tuaran, ditambah dan dimasukkan dalam Bajet 2023.

 

“Apa yang diperlukan ialah peruntukan pada kadar RM53,875 bagi seorang pelajar bagi tempoh pengajian selama lima tahun. Kami mencadangkan supaya kerajaan membiayai 20 pelajar untuk kohot 2023 dengan jumlah kos RM1,077,500 untuk mengendalikan kursus tersebut,” katanya.

 

Madius juga mencadangkan agar peruntukkan khas disediakan dalam Bajet 2023 bagi menaiktaraf jalan-jalan luar bandar di Sabah.


“Di Sabah masih ada lebih 5,000km jalan raya di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang perlu dinaiktaraf dari gravel ke aspal. Ini tidak termasuk pembinaan baru yang memang diperlukan.


“Justeru, UPKO minta supaya kerajaan memberi keutamaan menyalurkan peruntukan menaik taraf jalan-jalan tersebut dalam Bajet 2023 dengan kadar RM2 juta sekilometer,” katanya.


Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Kewangan Tengku Zafrul kerana menerima dan pada asasnya memberi maklumbalas positif terhadap cadangan-cadangan UPKO.


“Kesemua perkara yang dicadangkan ini adalah untuk manfaat dan impak kepada pembangunan ekonomi Sabah demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat wilayah Sabah,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page