- Wartawan Nabalu News
UPKO ulangi gesaan Kad Pengenalan Malaysia diganti

18 Feb 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan terus mendesak supaya Kad Pengenalan Malaysia yang ada sekarang diganti dengan baru.
Presidennya Datuk Wilfred Madius Tangau berkata, ini bagi memastikan orang asing yang mendapat kad pengenalan secara meragukan dapat dikenal pasti dan diambil tindakan untuk penyelesaian tuntas.
“Dengan cara ini rekod kewarganegaraan Malaysia dapat dibersihkan supaya bermaruah dan berintegriti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Majlis Pelancaran Mesyuarat Agung Tritahunan Cawangan-Cawangan UPKO Bahagian Tuaran secara maya hari ini.
Madius berkata, parti itu juga akan terus berjuang untuk memastikan penyelesaian ke atas empat kategori PATI di Sabah dapat dilaksanakan.
Beliau berkata, empat kategori PATI itu ialah: pertama, Orang Asing yang datang dan atau berada di Sabah tanpa dokumen perjalanan; kedua, orang yang lari daripada negara Filipina akibat perang saudara pada tahun tujuh puluhan atau apa yang di panggil sebagai Pelarian Filipina dan kini memiliki dokumen IMM13, Kad Burung-burung atau Kad Banci; ketiga, Orang Asing yang dilahirkan di Sabah oleh Orang Asing yang tidak mempunyai dokumen kewarganegaraan sekaligus menjadi orang tanpa negara atau stateless; dan keempat, Orang Asing yang telah mendapat dokumen Kad Pengenalan yang meragukan.
“Keempat-empat kategori orang asing di Sabah ini memerlukan penyelesaian tuntas yang berbeda dan berasingan. Sebagi contoh dalam kategori keempat iaitu PATI yang telah mendapat Kad Pengenalan secara meragukan.
“UPKO sentiasa bekerja sama dengan mana-mana pihak untuk mencari penyelesaian terhadap masalah tiga kategori ini secara tuntas.
“Dengan langkah-langkah yang telah diambil oleh UPKO selama ini, membuktikan bahawa tudahan yang mengatakan ‘UPKO Penternak PATI’ adalah satu fitnah dan pembohongan pihak yang bertanggungjawab,” katanya.
Madius berkata, walaupun parti itu menghadapi pelbagai cabaran, namun para pejuang UPKO hendaklah bersedia untuk terus mara bagi memastikan pencapaian wawasan parti itu.
“UPKO meneruskan perjuangan sebagai sebuah pertubuhan politik yang mengamalkan policy-driven atau dipacu oleh dasar sebagai tunjang penyelesaian pelbagai masalah rakyat jelata. Ayuh kita bersama-masa menerajui perjuangan rakyat di mana dan apapun mereka menghadapi cabaran tanpa mengira kaum, keturunan dan agama,” katanya.