UPSI Tuan Rumah Mesyuarat Interim dan Bengkel daCiMalaysia 2025
- nabalunews
- Jul 15, 2025
- 2 min read

15 Julai 2025
TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi tuan rumah Mesyuarat Interim dan Bengkel Dance and the Child International (daCi) Malaysia 2025, yang berlangsung selama enam hari bermula 10 Julai lalu.
Acara antarabangsa yang berlangsung di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan(FMSP), UPSI itu menghimpunkan pendidik, artis tarian dan penyelidik dari 14 negara bagi berkongsi ilmu, menjalin jaringan kolaboratif serta memperkukuh pendidikan tarian khusus untuk kanak-kanak dan belia.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, berkata penganjuran program bertaraf antarabangsa itu mencerminkan peranan aktif UPSI dalam memperkasa bidangseni persembahan dan pendidikan global.
“UPSI amat berbangga menerima delegasi dari pelbagai negara menerusi penganjuran Mesyuarat Interim dan Bengkel daCi ini.

“Ia bukan saja memperkukuh kedudukan UPSI di persada antarabangsa, malah memperkaya pengalamanakademik dan budaya warga kampus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, UPSI sentiasa menyokong inisiatif rentas budaya dan antarabangsa sebagai medium untuk memupuk ekspresi artistik, apresiasi budaya serta kecemerlangan dalam pendidikan seni.
Katanya, perhimpunan berprestij itu turut mendapat sokongan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) serta daCi sebagai badan antarabangsa yang memfokuskan kepada pembangunan tarian dan kanak-kanak di seluruh dunia.

“Acara itu menghimpunkan pakar dan pendidik global dalam bidang tarian dan perkembangan kanak-kanak, di samping meraikan kreativiti, pergerakan, serta pembelajaran silang budaya yang merentasi sempadan geografi dan budaya,” ujar beliau.
Antara tokoh antarabangsa yang menyertai program initermasuk Dr. Vesna Geršak dari University of Ljubljana, Dr.Jeffrey William Meiners (University of South Australia), Profesor Emerita Norma Sue Fisher-Stitt (University of Waterloo) dan Anna Mansbridge (Setiausaha daCi).
Turut hadir, Julianna Ho Yui Ting (Hong Kong Academy for Performing Arts), Johanna Clancy (Wagana Dancers), Dr. Ebb Daigo(University of Tsukuba), Cassandra Giannone (Thorndon Park Primary School), Sophia McKain (Edna Manley College of Visual & Performing Arts) dan Shama Harding (Pazaz Dance Studio).
Sementara itu, Dekan FMSP UPSI, Profesor Madya Dr.Muhammad Fazli Taib Saearani, berkata program itu menyediakan platform penting kepada pelajar dan pensyarahuntuk berinteraksi secara langsung dengan tokoh antarabangsa yang berpengaruh dalam bidang pedagogi tarian.
“Perhimpunan ini menyediakan ruang kolaboratif yang sangat bernilai dalam usaha mengembangkan pendidikan tarian untuk kanak-kanak, di samping memberi pendedahan global kepada warga FMSP,” katanya.
Mesyuarat Interim dan Bengkel daCi Malaysia 2025 merupakan antara agenda utama daCi antarabangsa yang diadakan secara berkala, bertujuan memperkukuh jaringan profesional dalam kalangan pendidik dan pengamal tarianyang komited terhadap pembangunan seni dan kanak-kanak di peringkat global.















Comments