USAHA ARTIS PROMOSI MUZIK TRADISIONAL SARAWAK DAN SABAH DIPUJIUSAHA ARTIS PROMOSI MUZIK TRADISIONAL SARAWAK DAN SABAH DIPUJI
top of page
  • nabalunews

USAHA ARTIS PROMOSI MUZIK TRADISIONAL SARAWAK DAN SABAH DIPUJI


gambar hiasan

15 Feb 2021


KUCHING: Pemuzik dan penyanyi Sarawak, Alena Murang, yang meraih anugerah antarabangsa di Argentina pada November lepas akan tampil dengan satu lagi projek, ‘Road To Our Heritage’ (ROTH), bagi mempromosikan muzik tradisional Sarawak serta Sabah dan usaha terbarunya itu mendapat perhatian serta pujian.


Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata projek julung kali itu yang diusahakan Alena bersama dengan rakannya dari kedua-dua negeri akan melibatkan tiga album muzik dan satu siri dokumentari TV yang bakal ditayangkan di RTM tidak lama lagi.

"Alena sekali lagi membanggakan kami kerana memainkan peranan dalam mempromosikan muzik tradisional dari Sabah dan Sarawak dengan produksi dijadualkan meliputi perjalanan darat sejauh 1,000 kilometer, " menurutnya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata antara ciri menarik projek itu ialah wawancara mendalam dengan penggiat muzik mahir dan akan membawa kepada penemuan budaya tradisional tempatan serta menampilkan lokasi yang indah di Sarawak.


“Kolaborasi mereka dengan rakan kongsi projek ROTH iaitu Dr Nadia Widyawati Madzhi dari Fakulti Muzik Universiti Teknologi MARA (UiTM) bakal memastikan sejarah alat muzik tradisional dan individu yang menghasilkannya akan didokumentasikan dengan baik untuk rujukan serta arkib pendidikan pada masa akan datang,” katanya.

Abdul Karim berkata Alena dan rakannya turut memanfaatkan platform digital untuk menghantar mesej kepada masyarakat mengenai kepentingan memelihara dan mempromosikan muzik tradisional asli termasuk penggiat muzik mahir yang membantu memulihara warisan tidak ketara itu.


“Mereka juga telah menunjukkan kepada kita bahawa pandemik ini (COVID-19) tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pemuzik tempatan yang berbakat meneruskan minat kreatif mereka dalam normal baharu kerana terdapat keperluan untuk mewujudkan satu ekosistem unik, yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan bakat muzik tempatan kita,” katanya. - Bernama

bottom of page