Usaha Ewon bantu penduduk Kg Kiau Taburi dipuji YPNM
- nabalunews
- Dec 9, 2024
- 1 min read

9 Disember 2024
KOTA BELUD: Usaha penyerahan geran tanah kepada penduduk luar bandar di Kampung Kiau Taburi di sini oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick sangat dialu-alukan.
Pengerusi Yayasan Pengguna Nasional Malaysia (YPNM) Sabah, David Chan berkata, usaha itu sekali gus membuka jalan ke arah peluang ekonomi yang lebih baik dan pembangunan mampan di kawasan itu.
"Pengagihan geran tanah ini merupakan satu pencapaian besar bagi para petani tempatan kerana ia memberikan jaminan pemilikan tanah yang membolehkan mereka mendapatkan pinjaman kerajaan untuk memperluaskan aktiviti pertanian.
"Inisiatif ini bertujuan meningkatkan taraf hidup komuniti luar bandar melalui amalan pertanian mampan dan kestabilan ekonomi," katanya, dalam satu kenyataan.
Katanya, penyerahan Sijil Kelulusan Koperasi kepada para usahawan luar bandar juga akan membolehkan penduduk kampung memperkasakan penubuhan koperasi.
Menurutnya, ia sekali gus akan meningkatkan peluang perniagaan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi secara kolektif.
Comments