Usaha mencari pesawat MH370 akan diteruskan tanpa henti - Menteri Pengangkutan

6 Mac 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Usaha untuk mencari atau menyiasat tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 pada 8 Mac 2014 tidak akan dihentikan, tegas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Menurut Loke, kerajaan Malaysia tidak pernah melupakan insiden tersebut dan tidak akan berhenti mencari atau menyiasat mengenai tracedi tersebut.
Beliau juga menegaskan bahawa pihak berkuasa akan mengesan lokasi terakhir pesawat jika terdapat maklumat baharu yang boleh dipercayai.
Jelas beliau, tiada ucapan atau simpati yang mampu menghilangkan kesedihan serta kesengsaraan ahli keluarga 239 penumpang dan anak kapal MH370 yang kehilangan orang tersayang.
"Rakyat Malaysia akan sentiasa bersama anda dan berkongsi beban kesengsaraan ini," kata Loke dalam satu kenyataan pada hari ini.
Beliau berkata, Rabu ini merupakan ulang tahun kesembilan tragedi penerbangan MH370 hilang tanpa jejak yang telah meninggalkan seribu tanda tanya kepada ahli keluarga mangsa mengenai apa yang sebenarnya menimpa pesawat malang itu.
Pada 8 Mac 2014, pesawat MH370 menghilang tanpa jejak dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Operasi mencari yang melibatkan beberapa negara dilancarkan di selatan Lautan Hindi, namun gagal menemui pesawat atau bangkainya.
Comentarios