top of page

USIA struktur semula pengurusan, perkukuh pembangunan dakwah, pendidikan dan ekonomi

  • nabalunews
  • Mar 5
  • 2 min read

5 Mac 2025


KOTA KINABALU: Penstrukuran semula agenda pembangunan dakwah, pendidikan dan ekonomi, menerusi Pelan Strategik Pembugaran Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) 2.0 akan dilancarkan dalam tempoh dua bulan ini.


Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad berkata, ia dilaksana susulan perbincangan dalam bengkel pertama yang diadakan di sini pada Selasa, yang memperhalusi Pelan Strategik Pembugaran USIA 2022-2024.


"Dalam pelan strategik kedua ini akan memperkukuhkan lagi enam fokus yang menjadi teras utama pelan pertama dahulu," katanya dalam sidang media selepas bengkel berkenaan di Pusat Konvensyan Antarabangsa Sabah (SICC) di sini semalam.


Sapawi berkata, fokus dikenali 6P itu ialah pembangunan semula bangunan USIA, penubuhan Pusat Pembangunan Komuniti, pembugaran Inisiatif Dakwah dan Pendidikan, penjanaan dan peningkatan ekonomi, pewujudan sistem pengurusan dan pangkalan data digital, serta pemerkasaan Pusat Latihan Dakwah.


"Kita memurnikan lagi enam fokus pelan strategik pertama ini yang kesemuanya sedang berjalan mengikut jadual," katanya.


Sapawi berkata, dalam usaha memperkukuh agenda pembangunan secara menyeluruh, USIA akan melaksanakan penstrukturan semula pengurusan dan pentadbiran di peringkat pusat, zon dan bahagian seluruh negeri.


Ini, katanya, termasuk penjemanaan program bahagian dakwah dengan kemungkinan mewujudkan semula jawatan Pengarah Dakwah Pusat.


"Sebelum ini kita ada pengarah dakwah di peringkat pusat, tetapi agak lama tertangguh...maka kita cuba strukturkan semula supaya bahagian dakwah ini berfungsi dengan lebih berkesan," katanya.


Mengenai ekonomi, beliau berkata USIA sudah memperakukan penubuhan sebuah yayasan dan namanya rasminya akan diumumkan dalam masa terdekat.


Bagi tujuan pembangunan ekonomi, katanya, USIA juga akan memperkasa tanah-tanah dan aset yang masih terbengkalai untuk dibangunkan supaya ia menjadi salah satu sumber pendapatan yang kekal.


Katanya, salah satu daripada aset yang berjaya dimajukan USIA ialah tanah di Semporna yang kini dibangunkan menjadi hotel dengan kerjasama sebuah syarikat tersenarai di Bursa Saham.


Menurutnya, beberapa aset lagi dikenal pasti untuk dimajukan, termasuk ada yang terbengkalai lebih 10 tahun.


Sapawi juga berkata USIA komited untuk menyokong usaha kerajaan, bukan saja dalam bidang dakwah tetapi juga pembangunan pendidikan dan sosial yang memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.


Untuk itu, katanya, USIA akan berkolaborasi dengan jabatan dan agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) lain yang mempunyai matlamat yang sama.


Lebih 30 orang pimpinan dan pengurusan USIA menyertai bengkel berkenaan yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan.


Hadir sama Setiausaha Agung Datuk Iman Ali dan Ketua Penerangan Datuk Salsidu Ibrahim.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page