top of page
Wartawan Nabalu News

Vaksin dos ketiga Covid-19 dijangka akan diberi mulai Oktober


19 Sept 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kumpulan golongan berisiko bakal menerima suntikan vaksin Covid-19 dos ketiga yang dijangka bermula pada bulan Oktober kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.


Menurut laporan Bernama, Khairy berkata keutamaan akan diberi kepada beberapa golongan bersiko, antaranya warga emas yang mempunyai masalah kesihatan yang kronik.


“Kita sudah mengenal pasti golongan rentan atau golongan berisko seperti individu yang mempunyai tahap imun yang rendah, petugas barisan hadapan yang berdepan risiko tinggi, dan petugas yang bekerja di pusat jagaan warga emas.


“Keutamaan akan kita beri kepada kumpulan ini untuk menerima suntikan dos penggalak tersebut, sebelum membukanya kepada golongan lain,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.


Menurutnya, ini kerana data kematian dan pesakit yang di dalam kategori lima menunjukkan kebanyakan warga emas yang memiliki masalah komobiti merupakan golongan paling berisiko.


Khairy menjelaskan bahawa pemberian dos ketiga tidak bermaksud hasil suntikan dua dos tidak berkesan.


Tambahnya, pemberian dos penggalak tersebut adalah untuk meningkatkan sistem imun orang awam terhadap virus tersebut.


"Keputusan belum dibuat sama ada semua rakyat akan menerima dos ketiga atau tidak memandangkan ia masih peringkat perbincangan kumpulan pakar," katanya.


Jelas Khairy lagi, setakat ini Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) hanya memberi kebenaran untuk dua dos sahaja bagi Pfizer, Sinovac dan Astra Zeneca dan perlu mendapatkan kebenaran bagi dos vaksin yang ketiga.


"Oleh itu semua pengeluar vaksin telah diminta menghantar maklumat dos penggalak kepada NPRA dan dalam tempoh seminggu dua, ianya boleh diluluskan," katanya.


Khairy berkata, beliau akan mengumumkan jenis vaksin digunakan untuk suntikan dos ketiga sama ada serupa seperti sebelum ini atau campuran.

Comentarios


bottom of page