• nabalunews

VAKSIN: MMA MAHU SEMUA PETUGAS PENJAGAAN KESIHATAN DISENARAI DI BAWAH KATEGORI 1


2 Mac 2021


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) perlu mengkaji semula pengkategorian dan senarai semua petugas barisan hadapan dan pekerja penjagaan kesihatan yang terdedah secara langsung kepada risiko dijangkiti virus itu di bawah kategori 1 dalam garis panduannya.


Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan ini selaras dengan gesaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mempercepat ekuiti vaksin kepada semua petugas kesihatan.



“MMA menyedari bahawa vaksin bagi kategori 1 dan 2 dirancang dilaksanakan secara serentak. Bagaimanapun, perkara ini tidak digambarkan di peringkat bawahan.


“Memandangkan Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) ternyahpusat ke setiap Jabatan Kesihatan Negeri, pembabitan lebih rapat dan komunikasi lebih baik diperlukan dengan sektor penjagaan kesihatan swasta untuk koordinasi yang lebih baik serta bagi mengelak sebarang kekeliruan,” menurut kenyataan itu.


Ketika ini, di bawah garis panduan itu, pengamal perubatan am, Klinik Pakar Swasta dan klinik gigi swasta disenarai di bawah kategori 2 bersama pasukan keselamatan dan pertahanan, anggota polis, guru sekolah rendah dan menengah serta kakitangan perkhidmatan penting yang lain.


Menurut MMA, doktor swasta dan kebanyakan Klinik Pakar Swasta selalunya menjadi tempat pertama pesakit yang mempunyai gejala Penyakit Pernafasan Akut Teruk (SARI) dan Influenza Like Illness (ILI), iaitu gelaja biasa pesakit dijangkiti COVID-19, mendapatkan rawatan.



“Sejumlah doktor dan kakitangan mereka telah dijangkiti COVID-19 selepas terdedah kepada pesakit dengan gejala ini yang kemudian disahkan positif COVID-19.


“Sesetengah klinik terpaksa ditutup selama 14 hari kerana doktor dan kakitangannya harus dikuarantin,” katanya.


Kenyataan itu menyebut ketika ini, doktor swasta turut terlibat dalam ujian saringan COVID-19 berskala besar yang menyebabkan mereka berdepan risiko tinggi dijangkiti virus tersebut.


Oleh itu, MMA berkata meletakkan mereka di bawah kategori 2 di dalam garis panduan tersebut menyaksikan bahawa mereka tidak diiktiraf sebagai antara bahagian penting dalam sistem penjagaan kesihatan utama dan hanya akan melambatkan usaha untuk menangani serta mengawal pandemik tersebut.


Kenyataan itu juga menyebut bahawa doktor gigi serta kakitangan mereka turut terdedah kepada risiko dijangkiti COVID-19 kerana pesakit perlu membuka pelitup muka untuk diperiksa dan dirawat. - Bernama


ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com