Van jenazah pertama DUN Kukusan
- nabalunews
- Jun 28
- 1 min read

27 Jun 2025
TAWAU: Masjid Nurul Taqwa Kampung Jawa Lanut di sini, menjadi penerima pertama sumbangan van jenazah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan yang akan memberi manfaat kepada sekitar 20,000 penduduk Mukim Sentosa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.70 Kukusan, Datuk Rina Jainal berkata, sumbangan van jenazah tersebut adalah hasil inisiatif pejabat DUN Kukusan menerusi peruntukkan Kerajaan Negeri sebagai membiayai pembelian van.
Katanya, pihaknya amat menghargai keprihatinan kerajaan kerana memberikan kelulusan peruntukkan membeli van jenazah buat pertama kalinya untuk kegunaan rakyat DUN Kukusan, khusunya Mukim Sentosa.
Menurutnya, sumbangan itu sekaligus menunjukkan hala tuju jelas pembangunan modal insan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang sangat berkesan dalam menyantuni rakyat secara langsung.
“Penyerahan sumbangan van ini menerima maklum balas cukup baik apabila kita turut menerima permohonan daripada masjid dan surau lain dalam DUN Kukusan, misalnya di Kg Airport Lama untuk penduduk Mukim Banyan Drive dan Padang Terbang,”katanya kepada media selepas penyerahan sumbangan van di masjid tersebut, semalam.
Rina berkata, beliau melihat kemudahan van jenazah itu perlu diperluaskan ke mukim lain dalam DUN Kukusan memandangkan kawasannya itu agak padat dan berada di tepian bandar.
Berkenaan isu keperluan mendesak tanah perkuburan Islam di DUN Kukusan, beliau berharap dua cadangan tapak iaitu di Merotai dan Jalan Baradaya dapat direalisasikan kerana tanah perkuburan sedia ada di Jalan Utara, hampir penuh.
“Saya berharap Kerajaan Negeri dan pihak berwajib seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dapat membantu agar dua tapak tanah perkuburan baharu itu dapat dilaksanakan,”katanya.
Commentaires