Van masuk gaung, lelaki maut, rakan cedera
6 November 2024
PAPAR: Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera selepas van dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas ke dalam gaung dan merempuh sebatang pokok di Batu 23, Jalan Kimanis – Keningau, pagi tadi.
Mangsa pemandu van jenis Toyota Hiace, Lee Jia Jun, 32, yang tersepit di tempat duduknya disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Rakan mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun terselamat namun mengalami kecederaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Penolong Penguasa Bomba, Johainin Ruslan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 6.55 pagi.
Katanya, sepasukan 4 pegawai dan anggota bersama sebuah jentera kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Kimanis dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 28 kilometer dari balai.
Usaha menyelamat turut dibantu 3 anggota bomba dari BBP Papar.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian didapati sebuah van terbabas ke gaung sedalam lebih enam meter. Terdapat dua mangsa tersepit di dalam kenderaan berkenaan.
“Mangsa pertama berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dan diberikan rawatan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dihantar ke Hospital Papar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa kedua juga berjaya dikeluarkan, namun disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian, operasi bomba ditamatkan pada jam 9.30 pagi,” katanya.
Comments