VIDEO TULAR MINUM MINUMAN ALKOHOL DI PUSAT KUARANTIN, MASIH DISIASAT: MASIDI
- Wartawan Nabalu News
- Jan 18, 2021
- 1 min read

18 Jan 2021
Oleh Alice J
KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) masih menjalankan siasatan lanjut terhadap video tular yang menunjukkan sekumpulan individu minum minuman keras di sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan Risiko Rendah Covid-19 di Kota Kinabalu.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, pihak PDRM tidak menolak kemungkinan bahan minuman keras tersebut dibawa sendiri atau dibantu oleh kakitangan yang bertugas.
“JKNS memandang serius perkara ini dan jika terdapat bukti bahawa kakitangan jabatan turut terlibat, tindakan tatatertib boleh dikenakan selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam.
“Pengurusan PKRC yang terlibat telah memulakan pemeriksaan mengejut ke atas beg pesakit yang dibawa masuk ke PKRC bagi mengelak perkara yang sama berulang,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut mengenai video tular di sosial media mengenai penghuni kuarantin di PKRC Stadium Likas mimum minuman alkohol semasa menjalani kuarantin.
Comentários