VRENDA DINOBAT UNDUK NGADAU BELURAN, A. FADLICFRANCIS JUARA SUGANDOI
- nabalunews
- May 1, 2021
- 2 min read
Updated: May 2, 2021

1 Mei 2021
BELURAN: Tampil anggun dengan pakaian tradisi Baju Labuk Vrenda Joaan Deftenneay Taji, 21, dinobatkan sebagai Unduk Ngadau daerah Beluran hari ini.
Vrenda, pelajar jurusan Pendidikan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima mahkota kemenangan selain wang tunai RM2000, trofi dan lain-lain hadiah sampingan.
Tempat kedua menjadi milik Sharone Shine Supaji, manakala Sonia Alyana Jairon meraih tempat ketiga.
Sharone dan Sonia masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 dan RM1,000, trofi serta lain-lain hadiah sampingan.
Selain itu, Vrenda turut memenangi anugerah 'Like Facebook Terbanyak', manakala Jocyceiyllene Tondolikus mendapat anugerah 'Tati Topiodo' (natural beauty).
Bagi pertandingan Sugandoi pula, A. Fadle Patrick muncul sebagai johan pertandingan itu yang berlangsung secara tertutup di Dewan Serbaguna Beluran.

Fadle membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 dan trofi. Dellouvah Hewailee Roddy dan Deidre Ann Geoffrey masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga. Mereka masing-masing pulang dengan hadiah wang tunai RM1,000 dan RM500 beserta trofi. Sementara itu, Pengerusi pertandingan Sugandoi Daerah Beluran Peter Anderson Nianti melahirkan rasa syukur kerana sambutan Kaamatan di daerah Beluran dapat dilaksanakan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. "Ini adalah pengalaman pertama saya sebagai pengerusi Sugandoi dan begitu juga Colin Kar sebagai pengerusi pertandingan Unduk Ngadau. "Agak mencabar sebab penganjuran pertandingan ini dibuat julung kali dalam norma baharu, selain membuat live streaming," katanya. Tambah Peter, walaupun masih berdepan dengan pandemik Covid-19, tetapi semangat untuk memartabatkan kebudayaan tidak pernah pudar. "Terus terang dalam situasi pandemik sekarang, saya tidak menjangkakan sambutan yang sangat menggalakkan. "Semangat memperjuangkan warisan budaya khususnya Dusun Labuk juga terserlah apabila ramai anak-anak muda melibatkan diri demi menjayakan sambutan ini. "Malah banyak juga pihak yang tampil memberi sokongan termasuklah pejabat daerah Beluran bagi memastikan acara ini berjalan lancar dan paling penting keunikan budaya Dusun Labuk dapat diketengahkan kepada umum," katanya.
Comments