Wanita melecur, lapan rumah musnah dalam kebakaran di Tawau

17 Julai 2024
TAWAU: Seorang wanita melecur pada muka serta kaki dalam kebakaran melibatkan lapan rumah di Kampung Hidayat, Batu 4, Jalan Apas di sini awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat, (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata wanita berusia 31 tahun itu kini dirawat di Hospital Tawau.
"Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 1.50 pagi dan setibanya jentera serta 20 anggota bomba dari BBP Tawau di lokasi, terdapat lapan rumah serta empat kereta terbakar.
"Anggota bertugas menggunakan empat pancutan air daripada sumber pili bomba dan tangki air jentera bagi memadamkan api, pasukan bomba membuat fire break dan berjaya menyelamatkan 15 rumah lain daripada terbakar," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Jemishin, kebakaran dapat dikawal jam 3:43 pagi dan operasi ditamatkan jam 7.24 pagi.
Punca kebakaran serta nilai kerugian masih dalam siasatan.
Comments