Wanita melecur rumah terbakar
- nabalunews
- Sep 28, 2024
- 1 min read

28 September 2024
RANAU: Seorang wanita melecur di tangan dan muka selepas rumah didiaminya terbakar dalam kejadian di Kampung Langkau, di sini, awal pagi tadi.
Mangsa berusia 47 tahun itu dihantar ke Hospital Ranau untuk rawatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 4.21 pagi.
Katanya, sepasukan 8 pegawai dan anggota bersama sebuah jentera pemadam api dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 25 kilometer dari balai.
“Kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal terbakar 80 peratus.
“Terdapat seorang mangsa wanita melecur di bahagian tangan dan muka. Pasukan bomba kemudian memberi rawatan awal kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Ranau menaiki EMRS untuk rawatan lanjut.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran dan dua pancutan dengan sumber air dari jentera dan air terbakar.
“Kebakaran dapat dikawal pada jam 5.15 pagi dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 7.10 pagi. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Comentários