top of page

Wanita rempuh premis kedai khinzir sejuk beku didenda

  • nabalunews
  • Feb 20, 2025
  • 1 min read

19 Februari 2025


TAWAU: Wanita warga emas yang merempuh premis kedai khinzir sejuk beku didenda RM5,500 atau sebulan penjara sekiranya gagal membayar denda oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.


Tertuduh, Wong Soo Chin, 62, didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Kedai Economic, Lorong Bintang sekitar jam 7.30 pagi, 9 Februari lalu.


Tertuduh yang mengaku salah membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.


Pertuduhan yang dijalankan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) membawa hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM10,000 dan boleh dipenjarakan sehingga 12 bulan, jika sabit kesalahan.


Berdasarkan fakta kes, Wong meletakkan kereta dipandunya di petak parkir hadapan premis kedai berkenaan tanpa mematikan enjin kerana terdapat seorang lagi penumpang berada di dalam kenderaan.


Bagaimanapun, dia terlupa menukar gear ke ‘P’ selepas turun menyebabkan kereta jenis Proton Saga itu bergerak ke hadapan dan merempuh premis kedai.


Akibat kejadian berkenaan, pemilik kedai mengalami kerugian yang dianggarkan berjumlah RM60,655.05.


Sementara itu, dalam mahkamah sama, seorang lagi wanita turut berdepan pertuduhan memandu tanpa kecermatan.


Wanita berusia 35 tahun terbabit didenda RM5,500 atau dua bulan penjara kerana melanggar satu tiang lampu jalan sehingga mengakibatkan kerugian RM10,000.


Tertuduh Anisa Muin Julhusin, melakukan kesalahan berkenaan di Batu 15, Jalan Apas, sekitar jam 1 petang pada 25 Januari lalu.


Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Trafik, Asisten Superintendan Joan Lee, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page