top of page
nabalunews

Warga asing suspek kes bunuh ditahan polis Keningau


17 Oktober 2024


KENINGAU: Seorang lelaki warga asing yang menjadi suspek utama kes bunuh seorang pemandu teksi di tepi jalan Kampung Lingkudau di sini pada 19 September lalu yang melarikan diri selepas kejadian berjaya dtangkap polis Keningau pada Rabu.


Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, hasil risikan dan maklumat awam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah telah masuk ke dalam kawasan perumahan Kampung Kauran, Keningau kira-kira jam 5.00 petang.


Katanya, usaha mengesan suspek dijalankan di kawasan berkenaan namun suspek dipercayai telah melarikan diri ke kawasan kilang terbiar pada jarak kira-kira 50 meter dari kawasan kampung.


"Usaha mengesan diteruskan dan pada jam lebih kurang 9 malam, pasukan polis telah berjaya mengesan dan menangkap suspek yang sedang bersembunyi di dalam kawasan semak jarak lebih kurang 20 meter dari bangunan kilang terbiar" katanya ketika dihubungi semalam.


Yampil memberitahu, suspek dikenali Abdul Razak Amri berumur 43 tahun warga Filipina beralamat di Kampung  Lingkudau, Keningau telah dibawa ke Mahkamah Majistret Keningau dan dikenakan perintah tahanan reman 7 hari sehingga 24 Oktober ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.


Siasatan awal mendapati suspek mengaku telah menikam mangsa Mohd Yusof Peyong, 58 tahun di bahagian tangan atas alasan berasa marah dengan mangsa yang telah menolong isteri suspek membuat laporan polis di Balai Polis Keningau.


"Sejurus selepas kejadian, suspek terus melarikan diri ke dalam kawasan hutan di Jalan Tenom dan baru keluar pada 15 Oktober kerana kelaparan" jelas Tampil.


Yampil merakamkan penghargaan kepada masyarakat setempat yang telah membantu sehingga tertangkapnya suspek dan pihak polis juga menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kes ini di media sosial yang akan menjejaskan siasatan pihak polis.

Comments


bottom of page