Warga emas cedera dalam kemalangan babitkan tiga kenderaan
nabalunews

21 Januari 2025
PENAMPANG: Seorang mangsa warga emas cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan, iaitu Perodua Bezza, Perodua Myvi, dan Nissan Navara, berlaku di Taman Golf Garden, Jalan Bundusan petang semalam.
Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), kejadian yang berlaku pada jam 4:47 petang itu melibatkan empat mangsa.
“Seorang penumpang wanita berusia 79 tahun dari kenderaan Perodua Bezza mengalami kecederaan dan telah dikeluarkan oleh pasukan bomba.
“Mangsa diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk rawatan lanjut oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Tiga lagi mangsa, iaitu pemandu Perodua Bezza, seorang wanita dari Perodua Myvi, dan seorang lelaki dari Nissan Navara, dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” kata Bomba Sabah dalam satu kenyataan.
Operasi yang diketuai oleh PBK I KUP Benny Lim dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang melibatkan tujuh anggota bersama jentera LFRT dan EMRS.
Comentarios