top of page

Warga emas ditemui rentung kebakaran di Kampung Air, Tawau

nabalunews

6 November 2024 


TAWAU: Seorang warga emas rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Air, Lorong Cempaka, Batu 4 Jalan Apas di sini.


Mayat mangsa hanya ditemui kira-kira tujuh jam selepas kejadian, pagi tadi.


Perkara itu hanya disedari keluarga mangsa sekitar tengah hari tadi apabila terdapat ahli keluarga mereka yang hilang, sebelum menemui jasad mangsa yang sudah rentung.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, mangsa ditemui orang awam pada jam 2.04 petang di bahagian dapur rumah yang musnah dalam kebakaran tersebut.


Menurutnya, keluarga mangsa memaklumkan kepada pasukan bomba berkenaan penemuan mangsa rentung dikenali sebagai Salleh Alih, 60, yang  kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.


Jemishin berkata, pihaknya sebelum itu mengerahkan sepasukan 16 anggota ke lokasi bersama tiga jentera selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 6.59 pagi.


Katanya, kebakaran itu melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal atas air berkeluasan 40 x 50 yang terbakar 100 peratus.


"Pasukan berjaya mengawal api kebakaran pada jam 8.07 pagi dengan menggunakan sumber air terbuka dan menamatkan operasi pada jam 8.54 pagi," katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Bagaimanapun, katanya, pasukan kembali ke lokasi kejadian susulan penemuan mangsa rentung apabila ahli keluarganya baharu menyedari kehilangan mangsa sekitar tengah hari.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page