top of page
nabalunews

Warga emas lemas di sungai Kadamaian


15 Oktober 2024


KOTA BELUD: Seorang lelaki warga emas ditemui mati lemas dipercayai akibat terjatuh dan dihanyutkan arus Sungai Kadamaian di Kampung Tambatuon, di sini, awal pagi tadi.


Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud bertindak segera mengerahkan pasukan Ketua Polis Balai (OCS) dan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan oleh orang ramai kira-kira jam 7.45 pagi.


Hasil siasatan awal polis mendapati kedudukan rumah mangsa terletak kira-kira 30 meter dari sungai.


Mayat mangsa pula ditemui kira-kira 500 meter daripada rumahnya.


Menurut isteri mangsa, pada tengah malam sebelum kejadian, mangsa memberitahu ingin ke tandas yang terletak di tepi sungai.


Setelah lama menunggu, si isteri memohon bantuan anak buahnya yang tinggal di sebelah rumah untuk mencari mangsa namun tidak ditemui.


Mayat mangsa hanya ditemui penduduk kampung kira-kira jam 7.15 pagi.


Berdasarkan rakaman percakapan dengan penduduk kampung, si mati menghidap penyakit darah tinggi, penyakit jantung, kolesterol tinggi dan mempunyai temujanji dengan pihak Hospital Kota Belud.


Difahamkan simati juga mengalami masalah nyanyuk dan sering keluar malam.


Siasatan lanjut polis dengan mengambil kira kesemua saksi kejadian, keadaan kawasan sungai yang berbatu dan arus deras serta lain-lain bukti sokongan, pihak polis mendapati tiada unsur jenayah berlaku.


Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai dan dihanyutkan arus deras ketika ke tandas ekoran keadaan mangsa yang uzur.


Pemeriksaan ke atas mayat mangsa mendapati tiada sebarang kecederaan yang mencurigakan.


Hanya terdapat kecederaan kecil di bahagian dahi mangsa disyaki akibat terhantuk objek keras seperti batu ketika terjatuh ke dalam sungai.


Keluarga simati telah membuat laporan polis berkenaan insiden ini tetapi mengambil keputusan agar tiada proses bedah siasat dilakukan ke atas mangsa.

Comments


bottom of page