Warga pendidik di pedalaman di seru kembangkan belia berkualiti

3 Mei 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KENINGAU: Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin, menyeru para pendidik di pedalaman Sabah untuk memainkan peranan penting dalam mendidik belia yang berkualiti dan berkaliber untuk menjadi pemimpin masa hadapan.
Jelas beliau, kurangnya penglibatan anak-anak muda pedalaman dalam arena kepimpinan di peringkat lebih tinggi adalah satu perkara yang membimbangkan.
Oleh itu beliau menggesa agar warga pendidik memainkan peranan penting mendidik anak-anak muda ini bergiat secara aktif dalam bidang kepimpinan.
Beliau yang juga ADUN Sook berkata demikian semasa melawat Pejabat Pendidik Daerah (PPD) Keningau semalam.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan komitmen beliau untuk bekerjasama erat dengan PPD Keningau dalam memastikan perkhidmatan pendidikan khususnya di kawasan Sook berjalan dengan lancar dan berada di landasan terbaik.
Kerjasama erat itu telah dimeterai dalam satu Memorandum Perkongsian Pintar antara beliau selaku Wakil Rakyat merangkap Menteri Belia dan Sukan Sabah dengan PPD Keningau.
Memorandum tersebut bertujuan untuk bekerjasama meningkatkan kecemerlangan budaya kerja kedua-dua organisasi; meningkatkan kecemerlangan kualiti pendidikan untuk kemenjadian murid berimpak tinggi; bekerjasama dalam bidang infrastruktur dan pembangunan sekolah; dan bekerjasama dalam bidang pembangunan sukan dan bakat murid.
Ellron juga menghargai jasa dan pengorbanan warga pendidik lebih-lebih mereka yang ditempatkan di beberapa tempat yang mempunyai akses bekalan air dan elektrik yang amat terhad.
"Meskipun ia satu tugas yang sukar saya berharap agar warga pendidik akan terus cekal dan sentiasa bersedia dalam memastikan mereka memberikan perkhidmatan terbaik kepada murid-murid," katanya.
Terdahulu, beliau juga mengikuti pembentangan disampaikan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Keningau, Johari @ Jaibet Sibin.
Antara yang ditekankan dalam pembentangan itu ialah isu mengenai pembangunan pendidikan di Sook, dan kemudahan dan infrastruktur pendidikan dan ketersediaan PPD Keningau terhadap daerah kecil Sook yang bakal berubah status ke daerah penuh.
Comments