top of page
  • Wartawan Nabalu News

Warisan minta kerajaan negeri sedia kertas putih NCA



8 Feb 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) meminta kerajaan negeri mengeluarkan kertas putih mengenai Perjanjian Pemuliharaan Alam Semulajadi (NCA) dan bukan sekadar penerangan secara bersendirian daripada menteri berkenaan.


Setiausaha Agung Warisan Datuk Loretto Padua Jr. berkata, ini kerana Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jeffrey Kitingan mengatakan bahawa perkara itu telahpun dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan dan kelulusan diberikan kepada Ketua Menteri, maka secara automatiknya, konsep dan dasar ‘collective responsibility’ oleh Kabinet Negeri Sabah diaktifkan.


“Kita sekarang tahu bahawa Jemaah Kabinet Sabah sebenarnya tahu tentang perjanjian ini dari awal lagi, oleh itu kita mahukan kertas putih mengenai NCA dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri dan bukan lagi sekadar penerangan secara bersendirian oleh Jeffrey,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Loretto berkata, sebelum Akta Parlimen berkaitan dagangan karbon dilaksanakan di negeri ini, Kerajaan Persekutuan harus mendapat persetujuan dua pertiga daripada Dewan Undangan Negeri dan Perlembagaan Persekutuan Artikel 74(2), 76(3), 76A(2), 77FC, 88(b), 161E(2)(c) ialah antara mekanisma-mekanisma perlindungan untuk Sabah.


“Sekiranya terdapat peruntukkan Persekutuan yang bertentangan dengan perkara hutan dan pertanian seperti yang terkandung dalam 21 Perkara MA63 yang dikuasai kembali oleh Kerajaan Negeri ketika era pentadbiran WarisanPlus, maka Warisan tidak teragak-agak menentang sebarang usaha yang melanggar perkara ini.


“Biro MA63 Warisan akan membuat perincian mengenai dakwaan Jeffrey tentang undang-undang Persekutuan ini dalam masa terdekat,” katanya.


Loretto turut menegur Jeffrey berhubung kenyataan bahawa NCA perlu dilaksanakan segera sebelum undang-undang Persekutuan berkaitan dagangan karbon (carbon trading) dikuatkuasakan.


“Dr.Jeffrey juga telah memberikan alasan bahawa Sabah mesti bertindak pantas untuk memiliki kuasa terhadap dagangan karbon negeri ini yang mampu menjana hasil lumayan agar tidak jatuh ke tangan orang lain seperti Sabah kehilangan kuasa terhadap hasil minyak dan gas negeri ini yang bernilai berbillion ringgit.


“Tetapi alasan itu tidak memberikan sebarang justifikasi untuk menasihatkan dan seterusnya mewakili Kabinet Sabah dan Kerajaan Negeri Sabah untuk terlibat dalam satu perjanjian senyap yang berkaitan dengan pengurusan kawasan hutan Sabah berkeluasan hampir 2 juta hektar dengan firma luar negara yang tidak mempunyai sebarang rekod pengurusan dagangan karbon malah hanya mempunyai modal berbayar sebanyak US1,000,” kata Loretto.


NCA ialah perjanjian melibatkan perdagangan kredit karbon yang merupakan sistem berasaskan pasaran untuk mengurangkan kesan gas rumah hijau, terutamanya karbon dioksida, yang menyumbang kepada pemanasan global dengan memberikan insentif dari segi kewangan.


Ia ditandatangani pada 30 Okt tahun lepas melibatkan pemberian 30 peratus daripada hasil jualan kredit karbon Sabah kepada firma Singapura Hoch Standard Private Limited manakala kerajaan Sabah memperoleh 70 peratus daripadanya.


Menurut pendedahan Al-Jazeera, Hoch Standard ialah "syarikat shell" yang dimiliki oleh sebuah firma di British Virgin Islands dengan modal berbayar AS$1,000 (RM4,180).


Kerajaan tidak mengumumkan pemeteraian perjanjian itu dan ia hanya diketahui umum pada awal November 2021 apabila laman web berita alam sekitar, Mongabay menerbitkan artikel mengenainya.


Comments


bottom of page